LOS ANGELES - Seekor aligator albino kecil betina yang berwarna putih 'tersenyum' ketika tubuh haiwan itu digosok dengan sebatang berus gigi oleh seorang wanita di sebuah zoo di California, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Aligator itu digosok dengan berus tersebut oleh Juliette Brewer iaitu seorang anak perempuan kepada pemilik Zoo Reptilia, Fountain Valley di Mukim Orange, California.
Haiwan itu yang diberi nama Coconut adalah seekor daripada 200 binatang yang menghidap penyakit albino di seluruh dunia.
Brewer yang ditugaskan membesarkan reptilia itu berkata dalam satu rakaman video bahawa dia hanya memandikan dan memberus tubuh haiwan berkenaan.
"Perbuatan tersebut seperti kita memberi belaian istimewa kepadanya," kata Brewer.
Perbuatan wanita itu memberuskan tubuh aligator tersebut disiarkan dalam rakaman video tersebut.
Aligator albino menetas dari telur dalam keadaan berwarna putih kerana ia kekurangan zat pewarna atau tidak mempunyai pigmen melanin.
Ekoran warna aligator berwarna putih, ia kerap menjadi mangsa binatang lain kerana tidak dapat 'menyembunyikan' atau ' menyesuaikan' tubuhnya dengan warna di sekeliling haiwan tersebut. - Agensi