Program Podium terima tamparan

Iklan
Pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang antara atlet sukan berprestasi tinggi yang mengalas cabaran negara di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Ogos lalu. gambar kecil: Pekan
APAKAH ianya situasi terlepas pandang atau adakah ianya hukuman secara halus dikenakan ke atas Program Podium yang dikendalikan Majlis Sukan Negara (MSN)?

Apa sekalipun ianya mengundang kebimbangan kepada penganalisis sukan negara, Dr Pekan Ramli berikutan ketiadaan peruntukan dalam Bajet 2022 untuk projek sukan berprestasi tinggi khususnya atlet-atlet dalam program podium terutamanya untuk menghadapi tiga kejohanan utama tahun depan.

Malah menurut Pekan, ianya bukan soal untuk menghadapi Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Komanwel tetapi peruntukan untuk Program Podium MSN memerlukan lebih RM50 juta setahun untuk persiapan atau siapsaga jangka panjang hinggalah ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Agak mengejutkan apakah tidak ada perbincangan khusus antara pemegang taruh MSN dengan pihak-pihak yang berkenaan sebelum diumumkan dalam Bajet 2022 yang diumumkan baru-baru ini.

"Mana MSN nak cekau duit untuk 'cover' ketiadaan peruntukan itu, memanglah boleh buat rayuan semula ke Menteri Kewangan, tapi bagi saya ini tak sepatutnya berlaku.

"Kenapa sukan e-sport kekal dapat RM20 juta dan Paralimpik dapat RM10 juta sedangkan sukan untuk atlet paling hebat di Malaysia (atlet Podium) tak dapat peruntukan langsung?,” kata kepada Sukan Sinar.

Pada masa sama Pekan mengajukan persoalan sama ada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah bersediakah untuk menerima kecaman daripada netizen, komuniti sukan dan rakyat sekiranya prestasi atlet sukan berprestasi tinggi negara merudum di tiga kejuaraan Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

"Jangan berikan pelbagai alasan nanti akibat kegagalan dan harus diingat ketiga-tiga temasya itu merupakan pentas mengukur prestasi atlet untuk penambahbaikan sebelum menggalas cabaran ke Sukan Olimpik Paris 2024, seandainya di tiga temasya itu pun longlai, apa yang boleh kita harapkan lagi?

"Pada masa sama persatuan sukan kebangsaan (PSK) tidak boleh dipersalahkan dalam isu ini sekiranya prestasi atlet tidak mencapai sasaran ditetapkan untuk tiga kejohanan tersebut.

"Bagaimana pula MSN mahu menyiapkan atlet podiumnya kalau tiada peruntukan untuk ketiga-tiga kejohanan utama ini?,” katanya.

Mengenai inisiatif KBS mempelawa penyertaan syarikat swasta dalam membantu menyalurkan penajaan untuk sukan berprestasi tinggi, Pekan berkata:"Setahu saya, pada ketika ini pun syarikat swasta pun dalam usaha memulihkan bisnes selain fokus kepada kebajikan pekerja masing-masing.

"Kita pula nak mengharapkan pada mereka, tak taulah kalau ada arahan dari langit kepada mereka untuk akur dan menyumbang puluhan atau ratusan juta bagi tujuan itu.”