Rakyat negeri Hang Tuah mahu pemimpin bebas rasuah, berintegriti tinggi

Iklan
Kru Rasuah Busters mengedarkan pelitup muka khas Rasuah Busters yang menjadi sebahagian kempen memerangi rasuah kepada Mohd Azamli Mat Zain.

MELAKA - Pemimpin bersih dan berintegriti tinggi merupakan impian rakyat Melaka menjelang hari pengundian pada pilihan raya negeri (PRN) yang dijadualkan pada 20 November ini.

Tinjauan Rasuah Busters di sekitar Bandaraya Bersejarah Melaka mendapati orang ramai tekad mahukan calon yang mampu menggalas tanggungjawab dengan baik, sekali gus memacu negeri itu ke arah pembangunan lestari.

Iklan
Iklan

Bagi Muhammad Syafie Hasan, 33, dia sangat berharap agar calon yang dipilih itu nanti dapat menjalankan amanah rakyat dengan sempurna.

Anak kelahiran Kampung Jambatan Duyung itu berkata, pemimpin yang dipilih seharusnya mempunyai azam tinggi untuk mensejahterakan negeri Melaka dan memakmurkan rakyat.

Iklan

"Setelah melalui pelbagai cabaran dan dugaan ketika pandemik Covid-19, masyarakat pastinya mahu sebuah kerajaan yang prihatin terhadap nasib rakyat.

"Namun belum reda sepenuhnya Covid-19 di negara ini, kerajaan negeri Melaka pula bergolak dan memaksa PRN diadakan bagi memilih pemimpin baharu.

Iklan
Muhammad Syafie

"Sebab itu, saya sangat berharap agar pemimpin dipilih pada PRN kali ini adalah mereka yang penuh tanggungjawab," tegasnya kepada Rasuah Busters pada Ahad.

Sementara itu, Muhammad Firdaus Azman, 27, dari Bukit Katil menyatakan kumpulan pemimpin yang mempunyai jati diri tinggi diperlukan bagi membela nasib rakyat Melaka.

Menurutnya, pemimpin yang bersih dan berkeperibadian tinggi adalah harapan seluruh lapisan masyarakat untuk melihat Melaka terus berkembang maju, bebas daripada korupsi serta menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

Katanya, semua itu hanya mampu dilaksanakan dengan sempurna oleh seorang pemimpin yang mempunyai cita-cita tinggi melihat Melaka terus terkenal dan maju jaya.

"Pemimpin yang dipilih pada PRN kali ini perlulah daripada mereka yang bebas daripada rasuah dan salah laku.

"Untuk itu, pengundi perlu bijak memilih pemimpin yang boleh menjalankan tugas dengan ikhlas," katanya.

Muhammad Firdaus

Sementara itu bagi Mohd Azamli Mat Zain, 48, dia benar-benar berharap calon yang dipilih pada PRN kali ini adalah mereka yang tidak mempunyai kepentingan diri, sebaliknya bertekad mensejahterakan rakyat.

Anak jati Bukit Katil itu berkata, tidak ada yang lebih bermakna buat seluruh rakyat di Melaka untuk melihat kepimpinan baharu membawa satu perubahan dinamik kepada ekonomi masyarakat setempat.