MELAKA - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berhadapan pertandingan empat penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Adly yang juga bekas Ketua Menteri Melaka dan penyandang kerusi berkenaan akan ditentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hasnoor Sdg Husin; calon Bebas, Abdul Hamid Mustapah dan Muhammad Al Afiz Yahya (Perikatan Nasional).
Pengumuman pencalonan keempat-empat calon berkenaan dilakukan Pegawai Pengurus (RO) Pilihan Raya DUN Bukit Katil Rohaya Abdullah.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, kerusi DUN itu dimenangi Adly dengan majoriti undi 3,159.
Tarikh mengundi bagi PRN Melaka ditetapkan pada 20 November dan undi awal pada 16 November.
PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). Bernama
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my