ALOR GAJAH - [DIKEMAS KINI] Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara menyaksikan pertembungan hebat tiga penjuru melibatkan calon Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Pengumuman rasmi calon bertanding dibuat Ketua Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) N02 Tanjung Bidara, Mohamad Farid Othman di Pusat Penamaan Calon di Kompleks Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Tanjung Bidara di sini, pada Isnin
Tiga calon berkenaan membabitkan Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (BN); Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Setiausaha Pengelola Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Masjid Tanah, Zainal Hassan mewakili PH.
Mereka mengemukakan borang pencalonan masing-masing sebelum tempoh sejam penamaan calon tamat pada jam 10 pagi.
Zainal mengemukakan borang pencalonan pada jam 9.02 pagi, diikuti Mas Ermieyati pada jam 9.12 pagi dan terakhir Ab Rauf pada jam 9.15 pagi.
Mohamad Farid berkata, beliau berpuas hati dengan kesemua kertas pencalonan terbabit.
"Saya telah menyemak kertas-kertas pencalonan, setelah selesai disemak saya berpuas hati dan tiada calon yang ditolak kertas penamaan mereka," katanya.
Kerusi Tanjung Bidara sebelum ini disandang bekas guru, Datuk Md Rawi Mahmud selama dua penggal dan menang dengan majoriti 2,864 undi pada pilihan raya umum lalu selepas menewaskan Pengerusi PKR Melaka, Datuk Halim Bachik (PKR) dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Melaka, Imran Abdul Rahman (Pas).
Hari mengundi awal dijadualkan pada 16 November dan hari mengundi pada 20 November ini.