Murid teruja dapat kembali ke sekolah

Iklan
Guru SK Tengku Ampuan Mariam menyambut ketibaan murid di pintu masuk sekolah sebelum mereka diperiksa suhu badan.

KUALA TERENGGANU – Gembira dan teruja.

Itu gambaran perasaan murid-murid yang akhirnya dapat hadir ke sekolah bagi memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka di negeri ini bermula Isnin.

Iklan
Iklan

Setelah sekian lama menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), kelihatan murid tiba di sekolah dengan ceria untuk berjumpa rakan-rakan dan guru yang sedia menunggu mereka sejak awal pagi.

Ibu murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Ampuan Mariam, Suhaza Shariff, 41, berkata, anaknya, Nur Kasih Hilman, bangun dari tidur seawal jam 6.30 pagi untuk bersiap ke sekolah.

Iklan

"Biasanya dia payah bangun pagi, tapi hari ini berbeza. Katanya tak sabar nak ke sekolah untuk jumpa cikgu dan kawan-kawan.

"Sebagai pelindung diri dia di sekolah, saya bekalkan cecair pembasmi kuman dan pesan agar sentiasa pakai pelitup muka serta ikut arahan cikgu,” katanya yang tinggal di Kampung Kolam.

Iklan

Menurut Suhaza, sebagai ibu dia juga lega dengan pembukaan semula sekolah kerana pembelajaran secara semuka lebih banyak kelebihan, berkesan dan efektif kepada murid berbanding PdPR.

"Bukan bermaksud kita mahu lepaskan tanggungjawab tetapi di rumah anak-anak kurang fokus.

Belajar hanya setengah jam dan selepas itu banyak habiskan masa dengan bermain,” katanya.

Bagi Rosemawati Abu Zharen, 47, dari Jalan Sultan Sulaiman pula berkata, belajar secara semuka memberi peluang kepada murid berinteraksi secara terus dengan guru apabila tidak faham dan begitulah sebaliknya.

Muhd Aimin, Rosemawati, Suhaza

Menurutnya, anaknya, Aness Illiyin Hanafi, murid Tahun Tiga SK Tengku Ampuan Mariam juga gembira apabila kembali belajar di sekolah macam biasa.

"Saya juga tidak bimbang untuk benarkan dia ke sekolah kerana ada SOP (prosedur operasi standard) yang sudah ditetapkan oleh pihak pengurusan dan murid hanya perlu patuh sahaja,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Tengku Ampuan Mariam, Mohd Jalani Mat Desa berkata, seramai 140 dari 280 murid sekolah itu memulakan pembelajaran bersemuka pada Isnin manakala selebihnya minggu depan mengikut penggiliran.

Beliau berkata, semua 40 guru sekolah itu juga sudah lengkap menerima vaksin Covid-19 sebagai persediaan menerima kehadiran murid dan mengajar secara bersemuka.

"Sekolah mematuhi semua SOP dan garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), oleh itu kita harap ibu bapa tidak bimbang dengan anak-anak mereka sepanjang berada di sekolah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tengku Ampuan Mariam, Muhd Aimin Mohd Tahir pula berharap ibu bapa dapat mematuhi garis panduan diberikan ketika menghantar dan menjemput anak-anak mereka dari sekolah.

"Saya mahu beri keyakinan kepada ibu bapa yang hantar anak ke sekolah untuk beri kepercayaan kepada pihak sekolah menjaga keselamatan murid sepanjang proses pembelajaran di sekolah bertepatan dengan SOP digariskan,” katanya.