KOTA BHARU - Walaupun tidak lagi bergelar pemain profesional, namun keakraban persahabatan dalam pasukan tetap menyatukan bekas-bekas pemain bola sepak negeri ini terutamanya apabila ada antara mereka diuji dengan masalah kesihatan.
Setiausaha Agung Persatuan Bekas-Bekas Pemain Bola Sepak Kelantan, Aziz Mahmud berkata, pihaknya sentiasa prihatin dengan rakan-rakan sepasukan dahulu tambahan pula ada antara mereka yang kini sudah uzur.
"Kami tetap berhubung, guna aplikasi WhatsApp, guna Facebook dan sebagainya.
Mujur ada teknologi, mudah juga untuk kami sentiasa bertanya khabar.
Nak jumpa depan-depan mungkin payah sikit sekarang, risau penularan Covid-19.
"Namun bila ada kes-kes kecemasan seperti ini, kita akan mengadakan aktiviti ziarah yang akan diketuai oleh ahli jawatankuasa tertinggi persatuan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Aziz sebelum itu mengiringi Pengerusi Persatuan Bekas-Bekas Pemain Bola Sepak Kelantan, Salim Mahmud Muhyidin dan rakan-rakan seperjuangan melawat Wan Rashid Wan Mohamad yang diserang angin ahmar di kediamannya minggu lalu.
Mengulas lanjut, Aziz memberitahu, ahli-ahli persatuan juga sentiasa mengambil berat antara satu sama lain sekali gus memudahkan sebarang bantuan di hulurkan apabila ada yang memerlukan.