MELAKA - Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil sah menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Pas dan Bebas.
Calon bertanding adalah Adly Zahari (PH) Datuk Hasnoor Sdg Husin (BN), Mohammad Al Hafiz Yahya (PN) dan Abdul Hamid Mustapah (Bebas).
Pegawai Pengurus DUN Bukit Katil, Rohyah Abdullah mengumumkan keputusan tersebut setelah selesai menyemak kertas-kertas penamaan.
"Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan, saya berpuas hati dan memutuskan tiada calon yang ditolak," katanya pada Isnin.
Kerusi DUN Bukit Katil yang sebelum ini merupakan DUN Bukit Baru diwujudkan sejak pilihan raya 2018.
DUN tersebut mempunyai 27,074 pengundi, dengan majoriti penduduknya Melayu dan mempunyai lapan Daerah Mengundi iaitu – Bukit Beruang, Padang Jambu, Bukit Baru Dalam, Paya Ikan, Bukit Pulau, Kampungku Sayang, Taman Tun Rahah dan Bukit Katil.
Adly merupakan menyandang kerusi DUN Bukit Katil pada pilihan raya umum lalu setelah menewaskan pencabarnya Muhamat Puhat Bedol (Pas) dan Yunus Hitam (BN) dengan majoriti 3,159 undi dan seterusnya menjadi Ketua Menteri Melaka.
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my