Sedia perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja ekonomi gig

Iklan
Awang Hashim - Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 [Akta 789] menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada orang bekerja sendiri, termasuk pekerja ekonomi gig seperti penghantar makanan dan perkhidmatan e-hailing sekiranya mencarum di bawah Akta tersebut.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, bagi aspek gaji pula, di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732], Perintah Gaji Minimum (PGM) 2020 terpakai kepada semua pekerja di sektor swasta.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, ia tidak termasuk pekerja perkhidmatan domestik seperti yang telah didefinisikan di bawah Akta Kerja 1995 [Akta 265], Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76).

"Secara amnya, takrifan ‘pekerja’ di bawah Akta 265, Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) adalah individu yang terikat di bawah satu kontrak perkhidmatan (contract of service) dengan pihak majikan.

Iklan

"Begitupun, pekerja ekonomi gig tidak termasuk di bawah definisi pekerja seperti yang dinyatakan di bawah Akta 265, Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76). Sistem pekerjaan gig dan ‘contract for service’ yang dipersetujui menjadikan pekerja ekonomi gig tidak tertakluk di bawah Akta 732 dan PGM.

"Setakat ini, tiada rekod atau pemfailan kes buruh berkaitan golongan pekerja gig yang boleh digunakan sebagai test case atau penandaarasan yang membolehkan pekerja ekonomi gig menikmati manfaat seperti pekerja di bawah definisi undang-undang buruh di Malaysia,” katanya dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) dan Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) yang bertanyakan adakah kerajaan bercadang untuk mengenakan gaji minimum dalam platform perniagaan industri ‘Ekonomi Gig’ seperti mana yang telah dilakukan kerajaan UK untuk para pekerja mereka.

Di United Kingdom (UK), pekerja ekonomi gig telah mendapat perlindungan gaji minimum susulan ketidakpuasan kadar upah penghantaran yang berubah-ubah.

Mahkamah Agung UK dalam kes Uber vs Aslam telah memutuskan bahawa kontrak pemandu bagi ‘ride sharing application’ adalah menjurus kepada kontrak perkhidmatan.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, sekiranya pekerja di bawah kontrak perkhidmatan, maka PGM adalah terpakai.

"Pekerja ekonomi gig merupakan individu yang bekerja sendiri dan bebas (self-employed and freelance) yang tertumpu kepada skop kerja dan tempoh masa yang ditetapkan (contract for service) dengan bayaran yang dipersetujui.

"Sistem bekerja dan ciri-ciri gig memberi kebebasan kepada organisasi dan pekerja menjalankan kontrak yang lebih terbuka dan bekerja secara fleksibel tanpa terikat kepada bekerja sepenuh masa dan persekitaran pejabat,” jelasnya.

Bagaimanapun jelasnya, kerajaan sentiasa terbuka terhadap setiap pandangan dan cadangan yang diberikan.

Kementerian Sumber Manusia katanya, bersedia meneliti apa jua cadangan yang dapat memberi manfaat kepada rakyat serta ekonomi negara secara keseluruhannya.