SHAH ALAM - Sebanyak 65,584 kematian direkodkan pada suku tahun ketiga tahun ini dengan peningkatan sebanyak 60.5 peratus berbanding suku tahun ketiga 2020 (40,858 kematian).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kematian pada suku tahun ketiga tersebut merupakan yang tertinggi semenjak siri masa suku tahunan dikeluarkan pada 2017.
Menurutnya, bilangan kematian bagi lelaki dan perempuan masing-masing merekodkan 37,085 dan 28,499 kematian.
"Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 13,926 kematian (21.2 peratus) manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan terendah dengan 90 kematian (0.1 peratus).
"Kematian disebabkan oleh Covid-19 adalah penyumbang utama peningkatan ketara bilangan kematian pada suku tahun ketiga 2021 yang mana 21,165 (32.3 peratus) direkodkan daripada keseluruhan jumlah kematian, iaitu meningkat daripada 15 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2020.
"Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi akibat Covid-19 iaitu 7,788 kematian manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan kematian terendah dengan hanya sembilan kematian.
"Kematian disebabkan oleh wabak ini juga menunjukkan peningkatan pada suku tahun ketiga 2021 di negara-negara ASEAN seperti Indonesia yang meningkat kepada 83,448 kematian berbanding 7,864 pada suku tahun ketiga 2020," katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir menjelaskan, kelahiran hidup mencatatkan penurunan sebanyak 0.5 peratus (120,147 kelahiran), berbanding suku tahun ketiga 2020 (120,725 kelahiran).
Ujarnya, kelahiran bayi lelaki melebihi bayi perempuan iaitu 61,613 kelahiran berbanding 58,534 kelahiran untuk bayi perempuan.
"Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 22,956 kelahiran (19.1 peratus) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan (430 kelahiran: 0.4 peratus).
"Penurunan bilangan kelahiran ini adalah selari dengan negara lain seperti di Amerika Syarikat (AS), Republik Korea, United Kingdom, Perancis dan Sepanyol,” katanya.
Tambah beliau, berdasarkan data anggaran penduduk semasa, penduduk Malaysia pada suku tahun ketiga 2021 dianggarkan seramai 32.67 juta orang, meningkat 0.2 peratus berbanding suku tahun ketiga 2020 (32.60 juta).
"Jumlah penduduk ini merangkumi 30.01 juta orang (91.9 peratus) warganegara dan 2.65 juta orang (8.1 peratus) bukan warganegara,” jelas Mohd Uzir.