KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat sesi pagi pada Isnin panas seketika apabila berlaku pertikaman lidah antara ahli Parlimen pembangkang dan ahli Parlimen kerajaan.
Suasana panas itu tercetus apabila Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) ‘mencuit’ nama Pas iaitu parti yang pernah disertainya sebelum ini ketika sesinya membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet) 2022.
"Pas dulu dengan UMNO, (tapi) hari ini (dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka), Ketua Dewan Ulamak Pas mendoakan supaya UMNO dihancurkan (selepas UMNO memutuskan untuk bertanding secara solo),” katanya.
Tidak berpuas hati dengan isu yang dibangkitkan Mahfuz itu, Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) bangkit mencelah dengan mengingatkan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu supaya tidak mencuit nama parti lain.
"Yang (dikatakan Bajet 2022) sembelit ini, cuba buktikan Pokok Sena.
Jangan cakap sahaja.
"Pokok Sena balik makan ubat, (kawasan) Pokok Sena pun ada banjir.
Balik makan ubat, jangan cuit nama Pas,” katanya.
Suasana tegang itu berlanjutan beberapa minit sebelum ditenangkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.
Mahfuz ketika membuka sesi perbahasannya mendakwa Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Oktober lalu sebagai ‘bajet sembelit’.
ARTIKEL BERKAITAN:Bajet 2022: Ahli Parlimen pembangkang sifatkan bajet sembelit