Sri Ram kekal TPR kanan, Mahkamah tolak rayuan Najib, Shafee

Iklan
Datuk Seri Gopal Sri Ram

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah gagal dalam rayuan mereka untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada menjadi timbalan pendakwa raya (TPR) kanan dalam kes mereka.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dalam keputusan sebulat suara, menolak rayuan yang dikemukakan Najib dan Muhammad Shafee.

Iklan
Iklan

"Kami memutuskan bahawa tidak diragukan Sri Ram adalah lebih daripada layak sebagai individu yang sesuai dan wajar untuk dilantik sebagai TPR kanan," kata Hakim Yaacob yang menyampaikan keputusan mahkamah.

Beliau berkata, Peguam Negara ketika itu Tan Sri Tommy Thomas berpuas hati bahawa Sri Ram adalah individu yang layak dan sesuai mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk dilantik sebagai TPR kanan.

Iklan

Hakim itu berkata, mahkamah bersetuju dengan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa tiada apa-apa pun dalam Seksyen 376 (3) KPJ yang memperuntukkan bahawa orang yang layak dan sesuai untuk menjadi TPR mesti daripada perkhidmatan kehakiman dan undang-undang atau penjawat awam, sambil menambah bahawa tidak ada keperluan sedemikian dalam undang-undang.

Hakim Mahkamah Rayuan itu berkata, adalah jelas dalam meminda Seksyen 376 (3) KPJ, Parlimen berhasrat untuk memberi kuasa kepada Peguam Negara untuk melantik dan melantik sesiapa yang layak dan sesuai sebagai TPR kanan.

Iklan

Beliau berkata, mahkamah berpendapat Seksyen 376 (3) itu adalah peruntukan tersendiri berhubung pelantikan sesiapa sahaja yang dianggap layak dan sesuai untuk dilantik sebagai TPR atau TPR kanan.

Seksyen itu katanya, dipinda bagi membolehkan Peguam Negara merangkap pendakwa raya melantik TPR supaya pendakwaan dikendalikan oleh TPR yang berpengalaman selaras dengan kerumitan kes.

Najib dan Muhammad Shafee juga katanya, gagal membuktikan Peguam Negara telah bertindak melanggar undang-undang atau bertindak secara mala fide dalam melantik Sri Ram sebagai TPR kanan.

"Mahkamah Tinggi tidak tersilap semasa menolak semakan kehakiman (yang dikemukakan Najib dan Muhammad Shafee) yang memerlukan campur tangan rayuan," katanya dalam prosiding secara maya pada Isnin.

Mahkamah membenarkan kos RM10,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi diketepikan.

Pada 28 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Najib dan Muhammad Shafee untuk menggugurkan Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan sebagai TPR kanan dalam perbicaraan kes mereka.

Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk menggugurkan Sri Ram dalam kesnya berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Disember 2018 manakala Muhammad Shafee mencabar pelantikan Sri Ram dalam perbicaraan kesnya sendiri membabitkan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta.

Mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menggugurkan pelantikan Sri Ram dengan menyatakan bahawa surat pelantikan bekas hakim itu sebagai TPR tidak sah.

Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan itu dan memohon perintah untuk melarang Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes yang dihadapi mereka, termasuk dalam kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Pasukan peguam yang diketuai Muhammad Shafee mewakili Najib manakala Harvinderjit Singh dan Harvinder Singh Sidhu mewakili Muhammad Shafee.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan bertindak bagi pihak kerajaan, Peguam Negara dan Sri Ram. - Bernama