Ekonomi APEC berkembang 6 peratus pada 2021, 4.9 peratus pada 2022

Iklan
RANTAU Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) diunjur berkembang sebanyak enam peratus pada 2021 dan 4.9 peratus pada 2022 dengan jangkaan pelonggaran terhadap langkah-langkah sokongan fiskal dan monetari, demikian menurut laporan Analisis Trend Serantau APEC (ARTA) yang baharu diterbitkan.

Rantau Asia-Pasifik meningkat lapan peratus pada separuh pertama 2021, berikutan penguncupan 3.7 peratus pada separuh pertama 2020.

Bagaimanapun, laporan itu menambah pertumbuhan dalam kalangan anggota ekonomi terus berbeza dan ketidaktentuan kekal ketara.

"Pertumbuhan dalam jumlah dan nilai perdagangan barangan dipercepatkan dua digit pada separuh pertama tahun ini hasil gabungan kesan titik perbandingan yang rendah ekoran penurunan ekonomi yang ketara setahun lalu dan pemulihan dalam aktiviti ekonomi.

"Perdagangan dalam barangan berkaitan COVID-19 seperti farmaseutikal, peralatan telekomunikasi dan komputer terus kukuh.” katanya.

Namun, analisis itu turut menyaksikan penyusutan mendadak dalam pelaburan lapangan hijau di rantau APEC iaitu ‘menjunam ke paras terendah dalam hampir 20 tahun’.

"Ini amat membimbangkan memandangkan peranan yang dimainkan oleh pelaburan sedemikian dalam melonjakkan pembangunan infrastruktur dan produktiviti selain meningkatkan teknologi dan kemahiran domestik," katanya.

Satu lagi perkembangan yang membimbangkan, katanya ialah peningkatan inflasi, menyaksikan rantau ini merekodkan kadar inflasi yang lebih tinggi sebanyak 2.6 peratus dalam sembilan bulan pertama 2021, selepas mencatatkan purata 1.5 peratus pada 2020 dengan analisis itu menunjukkan risiko aliran menaik inflasi kepada pemulihan ekonomi sekiranya tidak ditangani.

Pengarah Unit Sokongan Dasar APEC, Denis Hew yang menghasilkan laporan itu, mengulas bahawa APEC berserta ekonomi global, berada dalam wilayah yang belum dicartakan, dengan pemulihan sedang berjalan walaupun dalam keadaan pandemik yang berterusan.

"Terdapat banyak pengajaran yang diperoleh daripada kemelut pandemik ini yang mana dasar ekonomi, perdagangan dan kesihatan saling berkaitan dan dasar yang baik itu amat penting. Akses yang tidak sama kepada vaksin perlu ditangani segera untuk mengelakkan pemulihan dua arah.

"Ekonomi APEC juga harus berfikir ke hadapan untuk memudahkan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur dan mantap bagi memulihkan sektor yang berdaya maju seperti pengembaraan dan pelancongan, menggiatkan semula industri pembuatan dan menguar-uarkan kemunculan pekerjaan, pasaran dan perniagaan baharu yang boleh terbukti lebih mampan serta menguntungkan,” katanya

Laporan itu juga menangani ancaman kewujudan perubahan iklim untuk rantau ini dan manusia secara keseluruhannya, kerana ia akan menjejaskan sistem kewangan, rantaian bekalan dan tingkah laku pengguna ekonomi APEC.

Ia menambah walaupun dalam senario terbaik sekalipun dengan perubahan iklim dikekalkan pada atau di bawah 2.0°C, APEC boleh menjangkakan kerugian Keluaran Dalam Negara Kasar sehingga 11.3 peratus menjelang 2050. - Bernama