Pasaran pekerjaan yang tidak menentu dalam mendepani era ketika dan selepas pandemik menyebabkan pekerja perlu mempunyai kemahiran bagi memenuhi permintaan syarikat atau majikan.
Penting bagi sesebuah syarikat atau organisasi memiliki tenaga kerja berkemahiran, terlatih, tangkas dan cepat menyesuaikan diri untuk mendepani persekitaran kerja yang sentiasa berubah.
Ini antara objektif program TNB Reskilling Malaysia yang dibangunkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), disifatkan sebagai satu usaha terbaik untuk menaik taraf kemahiran pekerja dan meningkatkan kompetensi seseorang.
Bagi peserta TNB Reskilling Malaysia, Ahmad Izudin Mat Kiar, 28, program tersebut memberi impak positif kepada peserta terlibat.
"Nilai kebolehpasaran untuk bekerja menjadi lebih luas sekali gus berpeluang untuk diambil bekerja oleh majikan,” katanya.
Muhammad Aimin Tuah Mohd Azmi, 22, pula menyifatkan kursus ‘Smart Meter Installer’ yang disertainya berupaya menambahkan pengalaman dalam aspek kemahiran teknikal seperti komunikasi dan keselamatan.
"Kelas kemahiran komunikasi ini mengajar kita berkomunikasi dengan tuan rumah, bagaimana hendak menerangkan kepada mereka mengenai fungsi meter pintar dan sebagainya.
"Kami juga diajar kemahiran dari sudut keselamatan yang sering diambil remeh ramai orang seperti contoh pemakaian sarung tangan atau jaket dan kasut keselamatan,” katanya.
Beri manfaat
Sementara itu, Pengarah Naluri Rasa Sdn Bhd, Mohd Khairul Idlan Mohd Noor berkata, sebagai majikan beliau melihat prestasi pekerja yang dihantar ke program TNB Reskilling Malaysia menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.
"Kursus ini bukan sahaja membantu pekerja memberi output dari segi kualiti kerja tetapi pihak pemula atau pemberi kerja suka dengan syarikat kami. Pada masa sama kami dapat membantu pelatih ini,” ujarnya.
Bagi Pengarah Adawiyah Global Ventures Sdn Bhd, Muhammad Aiman Jebat Mohd Azmi, hasil program TNB Reskilling Malaysia dapat melahirkan pekerja yang berkemahiran dalam pelbagai bidang.
"Latihan ini menjadikan pekerja lebih cekap serta menjalankan tugas dengan lebih baik. Peserta memberi komitmen yang cemerlang dan agak kompeten untuk bekerja di luar,” katanya.
Peruntukan
TNB terus memperkukuhkan peranannya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan memberi latihan semula kepada rakyat yang hilang pekerjaan serta para graduan untuk mendapat pekerjaan.
Peruntukan sebanyak RM43 juta disalurkan untuk melatih 17,500 pekerja teknikal mahir menjelang 2024 menerusi program TNB Reskilling Malaysia.
Pengerusinya, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, peruntukan itu menjadikan sebanyak RM186 juta diperuntukkan oleh TNB sebagai inisiatif mengurangkan kadar pengangguran negara berikutan peruntukan RM143 juta oleh TNB sejak 2011.
"Sejak dilaksanakan pada Oktober 2020, TNB ‘Integrated Learning Solutions’ (ILSAS) berjaya melatih seramai 2,376 orang di 268 syarikat dalam industri.
"Inisiatif ini dijangka mampu menyumbang peningkatan sehingga enam peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui kesan berganda dalam ekonomi yang nilainya boleh mencapai sehingga RM82 bilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian TNB Reskilling Malaysia dan TNB Protégé, di ILSAS Bangi baru-baru ini.
Program itu dilancarkan Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din dan pengurusan tertinggi TNB.
Takiyuddin dalam ucapannya berkata, TNB Reskilling Malaysia dan TNB Protégé telah membantu kerajaan menggerakkan pemulihan ekonomi negara akibat pandemik Covid-19.
"Inisiatif ini sejajar dengan usaha kerajaan membantu mereka yang hilang pekerjaan akibat pandemik, pencari pekerjaan dan mereka yang menamatkan pengajian serta baru memasuki pasaran pekerjaan,” katanya.