Pinda undang-undang sebelum wajibkan dua vaksin

Iklan
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (dua, kiri) mencuba peralatan kompos sempena Program Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan di Projek Perumahan Rakyat Setia Alam hari ini. Turut serta Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min (kanan). - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) perlu membuat pindaan terhadap undang-undang sedia ada sebelum cadangan mewajibkan dua suntikan vaksin kepada kanak-kanak dapat dilaksanakan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dua vaksin tersebut ialah vaksin difteria dan MMR bagi merawat penyakit demam campak, beguk dan rubela yang ada dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).

Iklan
Iklan

"Perkara ini memerlukan undang-undang yang mandatori sebab itu kita ambil langkah cermat... kita akan bawa pada persidangan Parlimen. Bagaimanapun bukan yang terdekat ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Gotong-royong Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu juga akan dibincangkan bersama Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Iklan

Sementara itu, beliau berkata kementeriannya berhasrat memperluas penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) ke seluruh negara bagi membasmi wabak denggi di negara ini.

Menurutnya, penggunaan teknologi itu telah dilaksanakan di Pulau Pinang dan berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Perubatan, ia menunjukkan tahap keberkesanannya dalam membasmi dan mengelak pembiakan nyamuk aedes.

Iklan

"Jika mempunyai sumber kewangan yang mencukupi, kita boleh memperluaskannya ke negeri lain dan dalam kementerian sendiri mempunyai pakar dalam AI. Kita merasakan sudah tiba masanya teknologi itu digunakan untuk memerangi denggi,” katanya.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata kes denggi yang dilaporkan dari Januari hingga 7 Mac lalu meningkat kepada 28,580 kes berbanding 11,146 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Memandangkan kes dan kematian akibat denggi semakin meningkat, setiap individu dan masyarakat perlu memastikan persekitaran bersih dan bebas daripada bekas pembiakan aedes, jangkitan denggi boleh membunuh 45 peratus mangsa dalam tempoh lima hari selepas mengalami gejala,” katanya.- Bernama