KUALA LUMPUR - Ramai dalam kalangan pendidik yang terbeban dengan banyak keputusan ‘ad hoc’ dan keputusan yang sekadar ingin 'dikosmetik’ dengan data-data yang cantik, tanpa perancangan awal.
Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) berkata, ia berlaku apabila tiada pelan pemulihan jangka masa panjang, sehinggakan kementerian terutamanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) lebih bersikap politik dalam keputusannya.
"Kita sedar isu pendidikan amat penting terutamanya dalam usaha kita mengejar kembali pelbagai masalah yang timbul kerana pandemik Covid-19.
"Namun, saya fikir wajar untuk kita dengar suara para pendidik, para guru di bawah yang semakin hari semakin terhimpit, semakin tersepit hanya kerana untuk memastikan kejayaan di atas kertas yang ingin dipaparkan dan dibentangkan di dewan yang mulia ini.
"Saya mendapat ribuan malah puluhan ribuan, jikalau tidak ratusan ribuan (aduan) daripada para guru yang ditekan untuk memastikan bahawa dapatan dan data yang dipersembahkan harus mengikut selera orang atasan untuk dibentangkan kepada KPM dan KPM akan bentangkan kepada menteri,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet) 2022 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Tambahnya, menteri kemudiannya akan membentangkannya di Dewan Rakyat, tetapi data-data dan angka-angka itu dikosmetikkan guru-guru tersebut, di antara prinsip untuk berkata benar atau untuk memberikan data kosmetik.
Katanya, jika guru tidak memberikan data kosmetik, mereka akan dikenakan tindakan atau akan dilaporkan dan sebagainya.
"Tapi, kalau diberikan data yang tidak benar ini, ia tidak mencerminkan keadaan pendidikan yang sebenar dan ini akan menganiaya anak-anak bangsa kita. Tapi inilah yang berlaku.
"Sebagai contoh dalam isu pendidikan penilaian berdasarkan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). Apabila guru mengisi tahap penguasaan (TP) murid di bawah daripada dua, kerja guru akan dipertikai.
"Lebih parah, ada lagi yang akan dipaksa menukar data hanya untuk memastikan data dipersembahkan nampak indah, nampak cantik sehingga tidak nampak kepincangannya apabila membentangkan di dewan yang mulia ini. Percayalah, ini bukan tujuan sebenar pentaksiran,” ujar beliau.
Maszlee bagaimanapun mengucapkan tahniah kepada guru yang bertanggungjawab melaksanakan PBD dan melakukan intervensi kepada murid yang mendapat TP satu dan dua, walaupun mereka kadang-kadang terpaksa menerima kesannya.