MELAKA - Perikatan Nasional (PN) akan melancarkan manifesto ‘Melaka Prihatin’ yang memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat, termasuk isu banjir dan air di negeri ini sekiranya diberi mandat oleh rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November depan.
Pengerusi PN negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, manifesto berkenaan turut memberi tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi negeri, yang terjejas akibat Covid-19 seiring dengan hasrat PN untuk mengembalikan zaman kegemilangan Melaka di dunia suatu ketika dahulu.
"Sebab itu kita tampilkan muka-muka segar iaitu 90 peratus calon baharu mempunyai latar belakang pendidikan tinggi, berkarisma dan kredibiliti, yang mampu memberi kekuatan kepada kerajaan.
"Saya melihat banyak isu yang perlu diberi tumpuan, kita mesti selaras dengan 'Prihatin' itu, rakyat rata-rata selepas pandemik mereka mahukan keprihatinan kerajaan yang dipilih, sebab itu saya pikir Melaka Prihatin adalah teras manifesto tersebut yang akan dilancarkan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya kepada pemberita di Pusat Gerakan PN, DUN Telok Mas di Alai, Melaka di sini pada Isnin.
Bagaimanapun Mohd Rafiq ketika dihubungi enggan mendedahkan bila manifesto itu akan dilancarkan, namun akan memaklumkannya kepada media dua atau tiga hari sebelum pelancarannya.
Mengulas mengenai calon PN yang menampilkan 43 peratus calon muda berumur bawah 40 tahun dalam PRN itu, Mohd Rafiq berkata, ia adalah komitmen PN menyediakan pemimpin pelapis negara dan negeri, selain mengiktiraf peranan wanita dengan menampilkan enam calon wanita PN dalam PRN Melaka.
Mengulas mengenai pertembungan beliau dengan tiga calon lain dalam pertandingan empat penjuru di DUN Telok Mas, Mohd Rafiq berkata, ia satu proses dan meraikan demokrasi selain melihat ia sebagai persaingan sihat, di antara calon-calon dari parti gabungan politik dan calon bebas.
Pada PRN kali ini, Mohd Rafiq akan ditentang calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Setiausaha Amanah Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (BN) dan Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas).
SPR menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November.
PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). - Bernama
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my