JASIN - Walaupun masih belum tamat pengajian, Farzana Hayani Mohd Nasir menjadi calon paling muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda UiTM Shah Alam itu juga adalah pemegang Diploma Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Kampus Rembau.
Pada usia 21 tahun, Farzana Hayani merupakan Ketua Srikandi Keadilan Melaka.
Beliau bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.28 Sungai Rambai dan berdepan dengan tiga lagi calon.
Mereka ialah Muhammad Jefri Safry mewakili Perikatan Nasional, Nazatul Asyraf Md Dom; Putra dan Siti Faizah Abdul Azis, UMNO.
Untuk rekod, DUN Sungai Rambai dimenangi calon BN, Hasan Abd Rahman pada PRU-14 dengan mengaut 5,088 undi menewaskan calon PKR, Azalina Abdul Rahman dan Zakariya Kasnin (Pas) dengan masing-masing mendapat 3,419 dan 1,405 undi.
Farzana antara 11 calon daripada PKR yang akan bertanding pada PRN Melaka, 20 November ini selain sembilan daripada Amanah dan lapan calon diwakili DAP.