"HARI ini saya merasakan kecederaan lebih baik daripada semalam. Mempertimbangkan kejohanan-kejohanan yang akan datang selepas ini.
"Saya tiada pilihan lain selain untuk menarik diri. Saya sentiasa percaya saya mampu melakukan yang terbaik. Dan saya minta maaf ia (Terbuka Hylo 2021) terpaksa berakhir sebegini." luahan pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia di laman media sosialnya.
Zii Jia pemain pilihan kedua kejuaraan di Saarbrucken, Jerman itu terpaksa menarik diri pada set penentuan perlawanan akhir Terbuka Hylo selepas dipercayai mengalami sakit belakang.
Keputusan pemain berusia 23 tahun itu menyaksikan dia terpaksa melupakan hasrat merangkul kejuaraan kedua tahun ini selepas Seluruh England.
Penarikan diri pemain dari Alor Setar berusia 23 tahun itu sekali gus menyaksikan lawannya dari Singapura, Loh Kean Yew, menjuarai kejuaraan bertaraf Super 500 tersebut selepas pertarungan selama 64 minit di Arena Saarlandhalle.
"Ia juga menggambarkan betapa penting pasukan sokongan, untuk membantu saya memastikan tahap konsistensi saya berada pada tahap terbaik dalam kejuaraan berprestasi tinggi.
"Terima kasih atas doa dan sokongan padu semua. Saya berharap saya mampu meneruskan perjuangan ini dengan memberikan aksi terbaik." tulis pemain tersebut lagi.
Difahamkan berdasarkan jadual Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kejuaraan yang bakal berlangsung dalam masa terdekat ini adalah Indonesia Masters pada 16 November depan.