SHAH ALAM - Parti politik dijangka berdepan dengan cabaran untuk berkempen selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Isnin.
SOP khas berkenaan telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Ahad selaras dengan Peraturan 16, Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.
Susulan penetapan berkenaan, calon yang bertanding pada PRN Melaka dibenarkan untuk berkempen melalui kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara pada waktu yang ditetapkan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Datuk Abdul Ghani Salleh dalam sidang akbar pada Isnin berkata, begitupun calon perlu mendapatkan permit daripada pihak polis.
Menurutnya, kenderaan yang dipasang alat pembesar suara tidak dibenarkan berhenti di sepanjang laluan untuk menyampaikan ceramah.
Mengulas lanjut, Abdul Ghani berkata, bagi mematuhi penjarakan fizikal, ceramah yang menghimpunkan orang ramai adalah tidak dibenarkan.
Selain itu, aktiviti ziarah oleh calon atau penyokong parti ke rumah-rumah pengundi dan aktiviti ‘walkabout’ juga tidak dibenarkan.
Pada Isnin, SPR telah pun menerima sejumlah 112 kertas pencalonan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dipertandingkan pada PRN kali ini.
Dalam pada itu, Pakatan Harapan (PH) negeri Melaka mengakui SOP khas dalam melaksanakan kempen untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan cabaran besar bagi mereka.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, gerakan kempen menjadi sukar apabila pendekatan bersemuka khususnya kempen rumah ke rumah dan himpunan yang selama ini menjadi medium penting ketika pilihan raya tidak dibenarkan.
Bagaimanapun, katanya, PH akan menggunakan setiap saluran yang ada untuk memastikan kempen berjalan dengan baik.
Ujarnya, pilihan raya kali ini berbeza dengan pilihan raya lalu terutama kempen rumah ke rumah tidak dibenarkan.
Sudah tentu parti politik masing-masing akan meneruskan usaha bagi memastikan kempen yang dijalankan oleh mereka dapat sampai kepada pengundi namun, pada masa yang sama tetap mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my