JAGUH badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia akhirnya 'tumbang' selepas terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang cukup padat dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini.
Tampil dalam aksi final Terbuka Hylo berdepan pemain Singapura, Loh Kean Yew di Arena Saarlandhalle, Saarbucken, Jerman pada Ahad, Zii Jia terpaksa menarik diri ketika berentap pada set ketiga.
Selepas meraih kemenangan 21-19 pada set pertama, Zii Jia yang juga pemain nombor lapan dunia tewas 13-21 pada set kedua bagi membolehkan Kean Yew mengheret perlawanan ke set penentuan.
Ketika ketinggalan 12-17, Zii Jia yang memburu gelaran kedua tahun ini selepas menjuarai Seluruh England pada Mac lalu terpaksa membuat keputusan sukar apabila menarik diri selepas dipercayai mengalami kecederaan belakang.
Bagi bekas pemain handalan negara, Roslin Hashim, beliau berpandangan Zii Jia terlalu kepenatan apabila mengharungi lima kejohanan berturut-turut sejak penghujung September lalu.
"Bagi saya, Zii Jia sememangnya dah penat... dia dah burntout. Bayangkanlah dia mula beraksi pada Piala Sudirman di Finland, kemudiannya Piala Thomas, Terbuka Denmark, Terbuka Perancis dan sekarang Terbuka Hylo.
"Sepatutnya dia dah berehat. Setelah tewas (kepada kean Yew) pada pusingan pertama Terbuka Perancis, dia dah sepatutnya berehat. Memang betul, Zii Jia berehat sekejap, tapi dia tetap kena berlatih untuk sertai Terbuka Hylo dan akhirnya dia cedera.
"Sebagai pemain elit yang juga pemain perseorangan utama negara ketika ini dan sudah ada ranking, dia perlu selektif buat keputusan untuk memilih kejohanan yang disertai.
"Bukan semua kejohanan patut disertai. Sebagai contoh, pada Terbuka Hylo ini, tak ada pun pemain ranking 1 hingga 8 dunia yang main kecuali pemain Taiwan, Chou Tien Chen, itu pun dia tewas pada pusingan awal,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Untuk rekod, Zii Jia mewakili Malaysia pada Piala Sudirman yang berlangsung dari 26 September hingga 3 Oktober, Piala Thomas (9-17 Oktober), Terbuka Denmark (19-24 Oktober), Terbuka Perancis (26-31 Oktober) dan Terbuka Hylo (2-7 November).
Roslin memberitahu, Zii Jia perlu bijak membuat pilihan dalam menentukan kejohanan yang patut disertai dalam usaha memastikan kecergasan dirinya berada pada tahap terbaik setiap masa.
"Zii Jia tak perlu terburu-buru untuk sertai semua kejohanan. Saya yakin barisan kejurulatihan cukup arif tentang perkara ini dan mereka sepatutnya berbincang dalam menentukan kejohanan yang patut disertai.
"Sekarang Zii Jia mengalami kecederaan dan kita tidak tahu sejauh mana tahap kecederaan yang dialami, sama ada serius atau tidak. Dia mungkin terlepas untuk menyertai beberapa kejohanan penting.
"Situasi itu sudah pasti merugikan Zii Jia sendiri. Apa pun saya harap Zii Jia tidak mengalami kecederaan serius dan mampu beraksi seperti biasa dalam masa terdekat,” ujarnya.