Lima saranan untuk jamin kestabilan kerajaan selepas pilihan raya

Iklan
Untuk mengekang mana-mana ADUN daripada melompat parti adalah dengan meminda Perlembagaan Negeri supaya ada enakmen yang membolehkan mereka dipecat. (Gambar hiasan) - Foto Awani

KUALA LUMPUR - Kekhuatiran rakyat Melaka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November nanti pastinya adalah masalah sama berulang - kerajaan baharu dibentuk, kemudian ADUN lompat parti, kerajaan tumbang, dan pilihan raya sekali lagi.

Namun ada lima tindakan yang boleh diambil supaya ia tidak berlaku lagi, sekali gus memastikan kerajaan baharu hasil PRN kali ini akan terus stabil sehingga mandat diserahkan kembali kepada rakyat bila cukup waktunya.

Iklan
Iklan

Menurut saintis politik, Prof Wong Chin Huat, yang pertama untuk mengekang mana-mana ADUN daripada melompat dari satu parti ke parti yang lain adalah dengan meminda Perlembagaan Negeri supaya ada satu enakmen yang boleh memecat mereka yang berbuat demikian.

"Kemudian kita perlu ada peruntukan pembangunan kawasan yang diberikan secara saksama kepada wakil rakyat tanpa mengira parti supaya tak ada orang yang menggunakan alasan itu untuk melompat.

Iklan

"Ketiga, kita perlukan reformasi dalam DUN supaya ADUN-ADUN yang menjadi ‘backbenchers’ kerajaan mahupun pembangkang ada peluang untuk tonjolkan kebolehan mereka dan berikan sumbangan sebenarnya, jadi tak perlu guna alasan dianaktirikan dan diketepikan.”

Tidak cukup dengan itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Strategy & Leadership Institute mengesyorkan supaya perlu ada dua mekanisme undi dalam usaha mengelak jatuhnya sesebuah kerajaan.

Iklan

"Satu adalah undi tidak percaya yang membina, dalam bahasa Inggerisnya ‘constructive word of no confidence’, maksudnya kita tak boleh jatuhkan kerajaan semata-mata ada orang keluar daripada kerajaan.

"Kedua, tak kira bila pilihan raya, setiap Ketua Menteri yang baharu selepas pelantikannya harus membentangkan satu usul undi percaya kepada dirinya sendiri supaya meningkatkan keabsahan atau legitimasinya dan mengurangkan kebarangkalian atau peluang untuk parti lawan menjatuhkannya.

Tegasnya, parti-parti politik seharusnya tidak hanya membuat jajaran selepas pilihan raya tetapi juga perjanjian sebelum pilihan raya bahawa sesiapa pun yang menang, perkara-perkara tersebut perlu diusulkan dan disokong.

Kata Prof Wong, perlunya reformasi institusi ini supaya tidak kira siapa pun yang menang nanti, yang tetap menang adalah rakyat itu sendiri.

Beliau menjadi tetamu program Agenda AWANI dihoskan oleh Essan Yahya pada Isnin. - Awani

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my