Nur Syazwani tidak jemu pelajari corak baharu seramik

Iklan
Syazwani berharap penjualan seramik ciptaannya boleh dipasarkan kepasaran luar negara selepas ini.

KOTA BHARU - Seorang wanita berusia 29 tahun tidak pernah jemu mempelajari pelbagai corak terkini dalam pembuatan seramik untuk dijadikan cenderamata yang cantik.

Nur Syazwani Izyan Jefridin mendapat sokongan penuh daripada bapanya untuk mendalami ilmu pembuatan seramik walhal dia merupakan graduasi dalam bidang pengurusan di sebuah universiti swasta di Kelantan.

Iklan
Iklan

Bermula pada tahun 2010, dia mula membantu bapanya mengusahakan pembuatan dan menjual seramik secara kecil-kecilan sehingga mereka mendapat bantuan daripada beberapa agensi berkaitan pada tahun 2014 untuk mengembangkan perusahaan itu.

Sejak dari itu, Nur Syazwani Izyan mula mempelajari pelbagai teknik pembuatan corak ceramik bagi memastikan dia dapat mempelbagaikan bentuk dan corak untuk dipilih orang ramai.

Iklan

Bukan mudah, namun itulah cabaran yang perlu dilalui Nur Syazwani Izyan untuk menelaah ilmu-ilmu baharu yang ditimba melalui laman sosial, kajian tersendiri dan sebagainya tambahan pula seramik memerlukan satu teknik khas dari segi pembuatan corak dan proses pengeringannya.

Anak sulung dari empat beradik itu mewarisi sepenuhnya minat, kerjaya dan hobi bapanya dan mereka kini menjadi 'rakan sekerja' dalam perniagaan seramik berkenaan.

Syazwani (tengah) sentiasa memantau kerja-kerja mereka corak hiasan yang dilakukan pekerjanya.

Iklan

"Sebelum ini bapa saya kerja dengan sebuah syarikat pembuatan seramik ini tapi setelah syarikat berkenaan berpindah ke luar negara, ayah buat keputusan tidak mahu ke luar negara dan mahu mengusahakan sendiri pembuatan seramik ini secara kecil-kecilan.

"Walaupun saya belajar pengurusan, namun saya amat meminati pembuatan seramik ini. Semasa belajar, saya bantu ayah. Bila habis belajar, saya juga ada minta kerja seperti orang lain, tapi belum ada rezeki. Maka saya usahakan dahulu perniagaan ayah ini," katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa.

Bercerita mengenai pembuatan seramik berkenaan, Nur Syazwani Izyan memberitahu, dia telah mereka lebih 30 corak seramik melibatkan bekas makanan, pasu bunga serta hiasan dalaman rumah.

Katanya, dia sentiasa memastikan corak yang dihasilkan mendapat tempat di hati masyarakat terutama golongan muda yang suka membeli seramik untuk dijadikan hiasan mahupun hadiah.

Tambah Nur Syazwani Izyan, pasaran seramik diusahakannya dijual secara dalam talian ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Pembuatan seramik ini mengambil masa tiga hingga tujuh hari bergantung kepada corak dan suhu mengeringkan bahan itu. Biasanya paling cepat adalah tiga hari.

"Harga untuk setiap barangan adalah serendah RM1 hingga RM150 bergantung kepada jenis barangan dan corakdigunakan. Kami tidak jual mahal, ia berdasarkan kepada minat semata-mata, bukan mencari untung lebih," katanya.

Menurutnya dengan pembelian RM250 tanah, dapat menghasilkan 100 hiasan seramik setiap hari dan memperoleh keuntungan hampir RM10,000 sebulan.

"Apa yang penting, saya perlu menghabiskan masa untuk mengkaji corak-corak terbaharu pembuatan seramik ini supaya boleh pelbagaikan pembuatannya. Ini langkah yang penting untuk memastikan kecintaan kepada seramik ini tidak ketinggalan zaman.

"Dengan bantuan tiga orang pekerja, semua urusan saya dipermudahkan memandangkan pembuatan seramik ini bukan seperti pembuatan hiasan-hiasan lain," katanya.