KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN) untuk memastikan murid sekolah rendah menguasai sekurang-kurangnya tahap penguasaan tiga dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Matematik.
Timbalan Menteri I, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pelaksanaan PLaN adalah sebagai program sokongan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang menyeluruh untuk membantu memantapkan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
"Bermula September 2021 juga, KPM telah melaksanakan Program Pemerkasaan Pelaksanaan Kurikulum (KPMPerkasaKU). Salah satu aspek yang diberi penekanan dalam program ini ialah pemugaran literasi dan numerasi.
"Penekanan juga diberikan kepada penglibatan ibu bapa dalam menyokong pelaksanaan PdP. Program ini dirangka bagi memastikan murid menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi melalui PdP secara bersemuka atau PdPR yang bersesuaian dengan tahap keupayaan murid untuk mengikuti pembelajaran seterusnya,” katanya ketika waktu Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) yang mahu tahu apakah langkah diambil serta pemantauan KPM bagi memastikan murid yang tidak dapat mengikuti kaedah pembelajaran secara dalam talian khususnya murid tahap satu untuk menguasai kemahiran 3M dengan lebih baik.
Tambahnya, pada masa ini, murid tahap satu yang dikenal pasti berdepan dengan masalah itu dibekalkan dengan Modul Asas Literasi dan Modul Asas Numerasi bagi mempertingkatkan penguasaan 3M mereka.
Jelasnya, berkaitan pemantauan, Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dilaksanakan bagi mengumpul data perkembangan pembelajaran murid yang direkodkan dari semasa ke semasa.
"KPM yakin langkah strategik yang dilaksanakan ini dapat memastikan murid menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi,” katanya.