KUALA LUMPUR - Satu pelan tindakan hala tuju teknologi dan ekonomi hidrogen sedang dirangka ke arah menjadikan Malaysia sebagai antara pemain utama industri hidrogen sama ada di rantau Asia Tenggara mahupun dunia.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kementerian melalui Pusat Nanoteknologi Kebangsaan melantik syarikat NanoMalaysia Berhad sebagai rakan strategik bagi merangka pelan berkenaan.
"Penyediaan ini dijalankan secara kolaborasi dengan Akademi Sains Malaysia, NanoVerify Sdn Bhd dan Malaysian Green Technology. Pelan ini akan jadi panduan bagi membangunkan teknologi dan ekonomi hidrogen hingga 2050,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (UMNO-Rompin) mengenai jumlah eksport tenaga hidrogen ke luar negara bagi 2020 hingga Jun 2021 dan langkah diambil kerajaan bagi perkukuh dan komersialkan industri berkenaan di dalam negara.
Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, ekonomi hidrogen merupakan sektor tenaga alternatif yang akan diberi tumpuan dalam komitmen kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon seawal 2050.
Mengenai nilai eksport tenaga boleh diperbaharui berkenaan, beliau berkata pada masa ini ia masih kecil, bagaimanapun menurutnya, ia mempunyai prospek positif dari segi pertumbuhan ekonomi jika pelaksanaan inisiatif hijau dapat diperluas dengan cepat.
"Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, eksport hidrogen menyumbang sebanyak 1.5 peratus berbanding eksport lain-lain gas yang dianggar sekitar RM1.2 bilion.
"Di Malaysia, Petronas dan Sarawak Energy Berhad telah terajui pengeksportan sumber berkenaan,” katanya. - Bernama