SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sedang dalam proses menempatkan semula tapak-tapak gerai penjaja yang menerima lesen sementara pada tahun ini.
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata, langkah itu adalah susulan daripada tempoh sah lesen terlibat yang akan tamat pada akhir Disember ini.
Menurut beliau, penjaja yang berhasrat untuk meneruskan perniagaan boleh berhubung dengan pegawai MBSA bagi memudahkan urusan penempatan tapak gerai yang disediakan.
"Buat masa ini, MBSA belum menerima arahan lanjut berhubung inisiatif pemberian lesen sementara ini pada tahun hadapan namun kami dah maklumkan kepada penjaja untuk cuba tempatkan mereka.
"Kami tahu sebelum ini ada yang meniaga kerana tidak dapat bekerja namun trend itu semakin berkurang sebab kebanyakannya sudah dapat kembali bekerja.
"Oleh itu, MBSA akan cuba tempatkan penjaja sementara yang membuat permohonan bagi meneruskan perniagaan mereka di tempat-tempat yang kami sediakan," katanya selepas Majlis Pelancaran MBSA Tanpa Tunai yang berlangsung di Audtorium MBSA, Seksyen 14, di sini pada Selasa.
Zamani berkata demikian bagi mengulas mengenai status penjaja sementara di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu yang akan tamat pada Disember ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Oktober lalu memaklumkan, seramai 7,000 penjaja di negeri itu telah diberikan lesen sementara selama setahun.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan kerajaan Selangor bermula Ogos tahun lalu yang mana semua PBT perlu memberikan permit sementara kepada peniaga tidak berlesen khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) yang terjejas akibat Covid-19.
Selain itu, PBT juga perlu memastikan tapak niaga bersesuaian dengan menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.