SHAH ALAM - Celcom Axiata Berhad (Celcom) telah memulakan ujian panggilan teknologi Voice over New Radio (VoNR) 5G pertama di Malaysia sekali gus telah mencatatkan satu lagi pencapaiannya dalam memajukan perkhidmatan 5G.
Celcom dalam satu kenyataan berkata, panggilan suara 5G VoNR telah dibuat di ujian lapangan 5G Celcom di Kuah dan Taman Berlian, Langkawi.
"Sebagai sebahagian daripada Projek Demonstrasi 5G dan percubaan inovatif di Langkawi, Celcom membuktikan keupayaan panggilan suara 5G dan sesi data 5G secara selari melalui rangkaian 5G Standalone (SA).
"Melalui rangkaian 5G SA berasaskan awan, panggilan suara VoNR boleh dibuat dengan menggunakan rangkaian 5G tanpa perlu bergantung kepada teknologi LTE,” jelas kenyataan itu pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, pengguna VoNR bakal menikmati panggilan suara yang lancar dengan definisi tinggi manakala telefon pintar mereka mengekalkan hubungan 5G berkelajuan tinggi bagi muat turun sebarang media tanpa gangguan.
"Pencapaian bagi panggilan suara generasi akan datang ini merupakan suatu langkah ke arah merealisasikan potensi 5G untuk pengguna serta pemilik perniagaan.
"Ia menjadi asas perkhidmatan dan aplikasi yang inovatif seperti persidangan video dan interaksi menggunakan teknologi VR/AR melalui perkhidmatan 5G,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Idham Nawawi berkata, ketika negara bersiap sedia ke arah pelancaran 5G menjelang akhir tahun, percubaan itu memperlihatkan komitmen Celcom dalam inovasi dan ketersediaan 5G dan memberikan perkhidmatan 5G yang berkualiti tinggi.
"Celcom akan terus fokus dalam memajukan masyarakat melalui teknologi yang terbaharu dan memacu transformasi negara sebagai sebuah ekonomi digital yang mampan,” katanya.