IPOH - Seorang lelaki maut akibat tersepit di bawah tayar bas selepas terlanggar seekor anjing menyebabkan dia terjatuh dalam nahas di Jalan Sultan Nazrin Shah berhampiran Kampung Kepayang, Simpang Pulai di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC disahkan maut akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati, mangsa menunggang sendirian dari tempat kerja untuk pulang ke rumahnya.
"Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa telah terlanggar seekor anjing yang sedang melintas menyebabkan mangsa tercampak di tengah jalan.
"Sebuah bas yang dipandu lelaki berusia 54 tahun dari arah sama cuba memberhentikan kenderaan dan mengelak mangsa, namun gagal," katanya.
Menurutnya, mangsa yang tersepit di bawah tayar bas telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 7.25 pagi.
"Mayat dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian Covid-19," katanya.