KUALA LUMPUR - Suara Generasi Baru Felda mempersoalkan tindakan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang melunaskan bayaran tunggakan kepada pembekal dan kontraktor bagi 2008 menggunakan pinjaman RM500 juta yang disalurkan Kementerian Kewangan dan Hal Ehwal Ekonomi.
Penasihatnya, Datuk Zulkefli Nordin mendakwa, ini kerana potongan pendapatan bulanan setiap peneroka telah dibuat untuk menampung bayaran kontraktor dan angkut sawit.
"Mana duit potongan pendapatan bulanan dari setiap peneroka Felda untuk menampung bayaran kontraktor ladang dan angkut sawit?
"Bukankah FGV dah bayar kepada Felda semuanya? Kenapa nak guna suntikan dana RM500 juta untuk membayar kontraktor, sedangkan segala upah kontraktor telah pun dikutip?," soalnya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Minggu lalu, sebahagian kontraktor di Kemahang 2, Kluang yang diamanahkan mengangkut buah kelapa sawit dari ladang Felda mengadakan mogok kerana tidak menerima bayaran sejak lebih tiga bulan lalu.
Bagaimanapun, Felda pada Jumaat lalu telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya telah menerima pinjaman kewangan sebanyak RM500 juta daripada Kementerian Kewangan untuk melunaskan tunggakan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN:
Kerajaan pinjamkan RM500 juta kepada Felda
Mengulas lanjut, Zulkefli mendakwa, berdasarkan informasi yang diterima, pembayaran tunggakan tersebut dikatakan telah ditetapkan oleh pihak kementerian terbabit.
Beliau mendakwa, perkara itu berlaku akibat daripada pengurusan kewangan Felda yang tidak diuruskan dengan sebaiknya sekali gus membebankan golongan peneroka yang amat mengharapkan nasib mereka dibela.
"RM500 juta yang digembar-gemburkan sebelum ini kononnya suntikan dana dari kerajaan untuk mengurangkan beban peneroka Felda rupa-rupanya tidak benar kerana ia digunakan untuk membayar tunggakan pembekal dan kontraktor.
"Maka teruslah merintih peneroka Felda yang sedang menunggu bayaran sara hidup yang tertunggak masuk bulan ke dua," katanya.