3,811 pesawah terima manfaat program Smart SBB

Iklan
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (tengah) ketika di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Program Smart SBB.

KUALA LUMPUR - Seramai 3,811 pesawah mendapat manfaat di bawah program Smart Sawah Berskala Besar (SBB) sesi 1/2021 yang melibatkan kawasan penanaman padi seluas 9,777.7 hektar.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sehingga Oktober 2021, bilangan penglibatan dan hasil pendapatan pesawah telah berjaya melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak 280 peratus.

Iklan
Iklan

"Angka ini adalah salah satu kejayaan program Smart SBB Sesi 1/2021 yang disertai oleh 11 buah syarikat peneraju dalam membangunkan kawasan penanaman padi dengan sasaran seluas 300,000 hektar secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Program Smart SBB antara kerajaan dan tujuh syarikat peneraju sesi 2/2021 di sini pada Selasa.

Iklan

Dalam pada itu, Ronald berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan menggandakan usaha program Smart SBB bagi menarik lebih banyak pelabur swasta.

"Oleh itu, tujuh syarikat peneraju bersetuju menandatangani komitmen dan kerjasama strategik dalam program Smart SBB sesi 2/2021.

Iklan

"Syarikat itu adalah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Satu Cita Sdn Bhd, PTG Builder Services Sdn Bhd, Sermaju Agro Sdn Bhd, Panji Tulin Enterprise, Advansia (Sarawak) Sdn Bhd dan Unggul Venture Sdn Bhd," katanya.

Menurutnya, penglibatan syarikat ini bagi menjadikan industri padi dan beras negara lebih dinamik serta berdaya saing.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (dua dari kanan) melihat Buku Koleksi SMART SBB semasa Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Program Smart SBB.

"Ia juga dilakukan memandangkan keperluan kepada bekalan padi bagi pemprosesan beras domestik dijangka terus meningkat,” katanya.

Beliau berkata, trend pengimportan beras dari luar negara juga perlu dikurangkan bagi tujuan sekuriti bekalan makanan negara sekaligus meningkatkan produktiviti padi di peringkat domestik.

"Penglibatan pihak swasta dalam industri padi dan beras negara amatlah penting bagi menyuntik semangat baru kepada industri ini.

"Tiga entiti utama yang akan terlibat secara langsung dalam melaksanakan program Smart SBB adalah pesawah, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan syarikat peneraju yang dilantik oleh kerajaan,” katanya.

Tambah beliau, sehingga kini, MAFI telah mencapai persetujuan bersama dengan kesemua syarikat peneraju untuk menanggung kos penanaman padi sebanyak RM3,200 perhektar.

"Ianya melibatkan kos-kos seperti penggunaan baja tambahan seperti baja bio, penggunaan jentera mekanisasi dan automasi termasuk dron untuk meracun, pemantauan tanaman secara dalam talian dan sebagainya,” katanya.

Menurut beliau, program Smart SBB juga dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah selain turut meningkatkan hasil pendapatan pesawah sebanyak 50 peratus.

Selain itu, Ronald berkata, penggunaan teknologi canggih atau Internet of Things (IoT) selaras dengan pembangunan Industrial Revolution 4.0 (IR4.0) dalam penanaman padi adalah elemen penting yang ditekankan dalam program SMART SBB.

"Antaranya adalah penggunaan dron bagi pemantauan yang lebih berkesan dan penyemburan input pertanian seperti baja dan racun.

"Elemen teknologi yang diterapkan dapat mengurangkan kos penanaman di samping meningkatkan produktiviti hasil pertanian padi,” katanya.