SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Parti-parti bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mengambil inisiatif memperkenalkan calon secara kreatif menggunakan video grafik di media sosial susulan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) berkempen secara bersemuka.
Perikatan Nasional (PN) turut mengambil langkah sama dengan memperkenalkan tujuh calon yang mewakili parti berkenaan dalam PRN Melaka.
Antaranya ialah calon N01 Kuala Linggi, Aziah Mohd Sa'ad; N02 Tanjung Bidara, Mas Ermieyati Samsudin; N03 Ayer Limau, Dr Nordina Abd Latif; N04 Lendu, Mejar (B) Abdullah Mahadi; N05 Taboh Naning, Abu Hashim Abdul Samad; N06 Rembia, Zamzuri Arifin; N07 Gadek, Mohd Amir Fitri Muharam dan seterusnya.
Calon-calon akan memperkenalkan diri mereka dalam video tersebut sepanjang tempoh bawah 40 saat.
Video-video berkenaan dikongsikan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui akaun Facebooknya pada Selasa.
Dalam pada itu, Barisan Nasional (BN) juga tidak ketinggalan memperkenalkan calon parti melalui inisiatif yang sama.
Bagaimanapun, BN tampil kelainan dengan menggabungkan 28 calon PRN Melaka dalam satu video berbentuk ‘montage’.
Antara calon yang diperkenalkan adalah N01 Kuala Linggi, Rosli Abdullah; N02 Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf; N03 Ayer Limau, Hameed Basheer; N04 Lendu, Datuk Seri Sulaiman; N05 Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin; N06 Rembia, Datuk Jailani Khamis; N07 Gadek, VP Shanmugam dan lain-lain.
Video yang berdurasi 1 minit 57 saat itu turut menyelitkan lagu rasmi parti berkenaan.