Bilik gerakan PN Ayer Molek ditutup bukan kerana boikot

Iklan
Paparan video yang mendakwa bilik gerakan PN ditutup kerana diboikot ahli parti kawasan itu. (Gambar kecil: Ahmad Fadly)

MELAKA - Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek menafikan bilik gerakan parti mereka diboikot.

Ahmad Fadly Saminan, 38, yang mesra dipanggil cikgu atau ustaz dalam kalangan penduduk tempatan menyifatkan apa yang berlaku adalah salah faham antara 'adik-beradik'.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bilik gerakan utama DUN itu hanya ditutup sementara sejak Isnin, namun dijangka akan beroperasi kembali selewat-lewatnya pada petang Selasa.

Katanya, apa yang berlaku dianggap sebagai salah satu cabaran menyatukan hati semua ahli parti dan berharap tempoh berkempen berjalan dalam keadaan harmoni tanpa sebarang perbalahan.

Iklan

"Kalau perbalahan atau diboikot tentu bilik gerakan itu tidak akan dibuka selamanya, tapi kita akan buka petang ini dan saya akan adakan pertemuan bersama jentera parti.

"Sedangkan dalam rumah tangga lidah lagi tergigit inikan pula dalam 'adik-beradik', saya yakin misi dan visi parti akan satukan kami," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Sejak Isnin, tular video berdurasi 0.37 saat yang memaparkan seorang individu mendakwa bilik gerakan PN DUN Ayer Molek ditutup kerana tidak berpuas hati dengan peringat atasan yang tidak meletakkan calon anak jati kawasan itu.

Ahmad Fadly yang merupakan perunding motivasi berkata, apa yang berlaku juga disebabkan mereka mahu memastikan setiap ahli yang terlibat dalam PRN kali ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerana sedar rakyat sentiasa memerhatikan tindak tanduk mereka.

"Bila semalam pihak atasan mengarahkan hanya bilik gerakan utama sahaja yang boleh beroperasi kerana ikut SOP, mungkin ada bilik gerakan kecil hati dan timbul apa yang berlaku," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sekiranya menang pada PRN itu fokus utama yang akan diberikan perhatian adalah soal pendidikan rakyat.

"Saya yakin dengan pendidikan, rakyat boleh mengubah kehidupan yang lebih baik dan sebab itu, saya juga telah mewujudkan pusat tuisyen supaya anak-anak tidak tercicir dalam pendidikan," katanya.

Kerusi DUN Ayer Molek yang disandang Datuk Rahman Mariman dari Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 1,805 pada Pilihan Raya Umum lalu dan kali ini akan menyaksikan pertembungan empat penjuru.

Selain Mohd Fadly, turut bertanding adalah Mohd Rafee Ibrahim dari Pakatan Harapan (PH), Ahmad Muaz Idris (Bebas) dan Rahmad (BN).

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my