Pengundi disaran pilih wakil rakyat berintegriti

Iklan
Hamzah ketika sidang media selepas sesi lawatannya ke Pusat Media KKMM untuk Pilihan Raya Negeri Melaka 2021, hari ini. - Foto Bernama

MELAKA - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menasihati pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka supaya memilih wakil rakyat yang berintegriti termasuk tidak pernah dikaitkan dengan pengganas.

Ia berikutan calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, G Saminathan pernah didakwa atas pertuduhan memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), dua tahun lalu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, meskipun kes tersebut telah digugurkan, ia sudah mewujudkan syak tentang diri calon tersebut.

"Kes telah digugurkan, bermakna dia boleh untuk menjadi calon semula. Tapi yang penting kepada kita adalah sudah ada syak tentang dirinya sebelum ini.

Iklan

"Untuk membuat atau mengambil keputusan dalam menentukan siapa yang mereka mahu calon itu menjadi wakil mereka di DUN tersebut, biarlah ia berlaku secara baik.

"Kita pilih wakil rakyat yang berintegriti, tidak mempunyai sejarah hitam seperti pernah menjadi pengganas ataupun terlibat rasuah. Semua ini kita tidak mahu lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke pusat media PRN Melaka pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, calon yang dipilih itu juga perlu mempunyai masa depan yang baik untuk memimpin sama ada di peringkat negeri mahupun nasional.

"Yang kita mahu ialah orang-orang yang mempunyai masa depan yang baik untuk memimpin kita.

"Jadi, kita ketengahkan supaya calon-calon ini bila dah menang akan menjadi wakil yang penuh berintegriti,” katanya.

G Saminathan bertanding bagi mempertahankan kerusi DUN Gadek yang menyaksikan pertembungan enam

penjuru melibatkan calon daripada Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Perkasa Malaysia (Putra), Perikatan Nasional (PN) dan dua calon Bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus lagi adalah wanita.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my