SHAH ALAM - Pemilik kedai makan, Dak Lin Celup Tepung Bawah Pokok Pantai Siring di Merlimau, Melaka menafikan bahawa kedainya ditutup ketika ketibaan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad lalu.
Menerusi perkongsian di Facebook pada Selasa, pemiliknya, Haslinda Musa berkata, tuduhan yang tular di media sosial itu adalah tidak benar dan satu fitnah keterlaluan yang merosakkan perniagaannya.
"Untuk makluman semua, kita masa itu berniaga macam biasa. Kami sebenarnya masa ‘Bossku’ (Najib) datang itu air laut tengah pasang besar, jadi semua meja yang bawah pokok kita tidak boleh letak.
"Jadi, semua meja kita pindah masuk ke dalam kedai dan di seberang sungai. Masa hari kejadian itu, waktu pagi kita buka kedai 8 pagi, kita terpaksa buka meja dalam (bahagian dalam restoran) untuk orang awam sebelum ‘Bossku’ datang.
"'Bossku' datang awal 10 minit daripada jadual dia, jadi kami pun kelam kabut sebab tak sempat lagi nak bersihkan kedai. Itu yang kami terpaksa kemaskan meja nak sapu lantai. Lepas sapu itu baru kami susun meja semula,” ujarnya.
Sebelum ini, tular sebuah video di sosial media yang menunjukkan sebuah kedai kelihatan sedang mengemas meja semasa ketibaan Najib di tempat tersebut.
Mengulas lanjut, Haslinda berkata, beliau menjemput orang ramai tidak kira parti untuk hadir menikmati hidangan di kedainya.
Dalam pada itu, menerusi ruangan komen di video penjelasan tersebut, Najib menganggap tuduhan tersebut sebagai isu yang sudah lazim dilaluinya dalam politik.
Beliau turut melahirkan penghargaan atas penjelasan yang diberikan oleh Haslinda.
"Terima kasih juga atas layanan mesra dan hidangan yang sedap. Siapa-siapa ada masa bolehlah datang sini cuba,” tulisnya.