Pemodenan, pertanian pintar kunci utama transformasi agromakanan

Iklan
Ronald ketika merasmikan ‘Webinar on Leaf Colour Chart (LCC) Application’ pada Selasa.

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah menjadikan strategi pemodenan dan pertanian pintar sebagai kunci utama kepada usaha bagi menjayakan transformasi sektor agromakanan termasuk sektor padi dan beras negara.

Iklan
Iklan

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, MAFI telah menggariskan lima strategi utama di bawah sub industri padi dan beras menerusi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

Katanya, antara strateginya adalah meningkatkan produktiviti melalui pengurusan penggunaan tanah dan air yang lebih baik dengan memberi penekanan kepada peningkatan kecekapan penggunaan tanah dan air untuk produktiviti lebih tinggi.

Iklan

"Kedua, memanfaatkan potensi varieti istimewa tempatan dengan membangunkan segmen beras istimewa tempatan untuk mengukuhkan pilihan bagi kepelbagaian varieti oleh pengeluar beras.

"Ketiga, menggalakkan penglibatan sektor swasta yang pelbagai di sepanjang rantaian nilai sub industri padi dan beras seiring dengan perkembangan zaman.

Iklan

"Keempat, penstrukturan semula sokongan kewangan sedia ada untuk menyumbang ke arah memperkasakan pengeluar dalam membuat keputusan perniagaan dengan memperhalusi sokongan input dan output semasa bagi menggalakkan pengoptimumkan operasi pertanian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ronald berkata, melalui strategi itu,MAFI akan turut mempromosi, menggalakkan, mengajar dan memupuk generasi belia untuk terlibat dalam sub industri padi dan beras dengan memperkasakan peluang sedia ada melalui pendedahan kepada generasi muda.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan ‘Webinar on Leaf Colour Chart (LCC) Application’ anjuran Jabatan Pertanian Malaysia pada Selasa yang melibatkan penyertaan peserta dari 10 negara ASEAN dan 250 orang pegawai pengembangan.

Zahimi menunjukkan aplikasi Leaf Colour Chart (LCC) yang dibangunkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia.

Webinar yang diadakan menerusi platform ASEAN Cooperation in Agricultural Training and Extension (AWGATE) bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan pandangan bagi membantu petani meningkatkan kecekapan dalam proses pengurusan nutrien tanaman padi.

Perbincangan yang diadakan selama dua hari itu turut memberi penekanan kepada pengurusan pintar nutrien dalam pengurusan padi dan beras dalam usaha ke arah penggunaan baja secara tepat yang dapat membantu mengurangkan kos input dan penjagaan alam sekitar yang lestari.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan sama, Jabatan Pertanian Malaysia memaklumkan bahawa seiring dengan perkembangan Industri 4.0, pihaknya telah membangunkan aplikasi Leaf Colour Chart (LCC) yang merupakan sebahagian daripada inovasi pertanian pintar.

Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Zahimi Hassan berkata, aplikasi itu bakal membantu petani membuat keputusan secara tepat dalam penggunaan baja nitrogen.

"Aplikasi LCC ini membolehkan petani mengambil gambar pokok padi menggunakan telefon pintar dan secara automatik mengeluarkan keputusan segera,” ujarnya.