Tiga elemen elak pemain 'pancit'

Iklan
Mohd Sadek Mustafa

PEMAKANAN, pemulihan dan rehat menjadi tiga elemen utama yang perlu dititikberatkan Persekutuan Badminton Malaysia (BAM) dalam memastikan kesemua pemain negara kekal cergas dalam menempuh kejohanan di pentas antarabangsa.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa berkata, sekiranya elemen tersebut diabaikan, ia dikhuatiri menyebabkan pemain akan berada dalam keletihan sehingga mengundang kecederaan.

Iklan
Iklan

"Kita perlu faham, sukan badminton ini merupakan sukan berprestasi tinggi yang mana setiap pemain akan guna sekurang-kurangnya 60 peratus sumber tenaga dalam badan mereka.

"Dengan kejohanan sekarang yang saya lihat back to back, bermula Piala Sudirman sehingga yang terkini Terbuka Hylo di Jerman, jadi saya rasa elemen seperti pemakanan, pemulihan dan rehat yang mencukupi sangat penting dan tidak boleh dipandang remeh.

Iklan

"Kalau diabaikan ketiga-tiga elemen tersebut, ini akan menyebabkan seseorang pemain itu jadi penat, baik fizikal mahupun mental dan akhirnya menyebabkan kecederaan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Pada Isnin, ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan mengakui anak didiknya, Lee Zii Jia mengalami keletihan dari aspek mental selepas mengharungi lima kejohanan berturut-turut di Eropah.

Iklan

Akibatnya, Zii Jia terlepas peluang merangkul gelaran kedua tahun ini apabila terpaksa menarik diri dalam set penentuan gara-gara mengalami kecederaan belakang badan ketika aksi final Terbuka Hylo menentang pemain Singapura, Loh Kean Yew pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohd Sadek berkata, BAM wajar mengikut langkah yang digunakan beberapa negara seperti Denmark dan Jepun yang bijak dalam memilih kejohanan untuk disertai pemain masing-masing.

Menurutnya, dengan cara tersebut ia dapat membantu mengurangkan kepenatan pemain selain membantu mereka lebih fokus terutamanya dalam menghadapi kejohanan utama.

"BAM perlu ada rancangan yang sistematik kejohanan apa yang perlu disertai pemain. Mungkin mereka boleh ikut cara beberapa negara yang selektif untuk menghantar pemain mereka beraksi dalam sesuatu kejohanan.

"Pada masa sama, barisan kejurulatihan BAM boleh tingkatkan intensiti latihan supaya pemain negara boleh mengekalkan kecergasan. Sebab yang penting kini adalah kecergasan pemain,” jelasnya.