SHAH ALAM - Parti-parti politik yang ingin bergabung perlu melaksanakannya sebelum pilihan raya untuk menubuhkan kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pakar Perlembagaan, Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, tidak mustahil sekiranya ia dilaksanakan selepas pilihan raya tetapi perjalanannya agak sukar.
"Ini kerana perundingan itu akan berlaku selepas pilihan raya, contohnya, untuk melantik ketua menteri itu seseorang yang mempunyai kepercayaan majoriti daripada ahli dewan jadi penentuannya dan kebiasaan dihitung menerusi kerusi yang dimiliki.
"Walaupun dari segi undang-undang dinyatakan majoriti ahli dewan tetapi ia tidak menyatakan namun, dari segi amalannya bilangan kerusi itu juga penting untuk memutuskan siapa yang kemudiannya nanti boleh ditentukan untuk menjadi ketua menteri.
"Jadi di sini, walaupun ada kebaikan supaya luasnya pilihan rakyat semasa pilihan raya tetapi dari segi penubuhan kerajaan itu juga akan menyebabkan berlakunya perbincangan yang lebih panjang berbanding penyatuan parti-parti politik sebelum pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Harian edisi ke-303 yang membincangkan topik 'PRN Melaka: Ujikaji PRU 15?' yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Turut bersama sebagai panelis ialah Penulis Buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang & Takbir, Dr G Manimaran, Penganalisis Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis dan Khairil Amri Tajuddin selaku moderator.
Dalam pada itu, Shamrahayu berkata, partisipasi orang muda dalam pilihan raya bermula dengan penurunan had mengundi kepada 18 tahun daripada 21 tahun.
Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut tidak dapat dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini.
"Pada 2008 bermulanya untuk meremajakan parti politik ini kemudian terus meremajakan badan perundangan apabila orang muda boleh bertanding atas tiket-tiket parti, maka dewan perundangan itu akan menjadi lebih remaja.
"Jadi kalau saya nak andaikan orang muda lebih ramai akan turun mengundi dan mereka masih 50-50, saya tidak pasti.
"Minggu lepas, selama tiga hari saya di Melaka berjumpa dengan beberapa orang muda dan ramai yang teruja untuk mengundi,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, jika orang muda kecewa dengan politik negara maka akan sendulah suasana politik Malaysia.
"Saya harap orang muda lebih teruja untuk mengundi dan mampu untuk mengubah pola politik negara kita maka kenapa tidak mereka mulakan pada pilihan raya di Melaka ini.
"Buktikan bahawa demokrasi masih hidup dan orang muda masih mahukan sistem demokrasi berjalan dengan lancar dan mereka mempunyai aspirasi untuk menambah baik sistem politik, perundangan dan pentadbiran negara,” jelasnya.