Berubahlah jadi pembersih...

Iklan
Penjagaan alam sekitar perlu dititikberatkan kerana ia menawarkan pelbagai perkhidmatan dan manfaat untuk kegunaan manusia. - Foto 123RF

KERAJAAN negeri Terengganu bercadang meningkatkan penguatkuasaan terhadap kesalahan membuang sampah terutama di lokasi tumpuan awam dengan mengenakan denda sehingga RM1,000 bagi pelaku yang melakukan kesalahan kali kedua.

Bagi kesalahan pertama, cadangan kompaun kepada individu melakukan tindakan tidak bertanggungjawab itu adalah sehingga RM500, jauh lebih tinggi berbanding kompaun RM50 sekarang.

Iklan
Iklan

Usaha itu kata Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak adalah untuk mendidik dan memupuk kesedaran secara berterusan bagi memastikan masyarakat mematuhi peraturan ditetapkan.

Sebagai rakyat Terengganu, penulis menyokong agar cadangan itu dikuatkuasakan dengan segera.

Iklan

Ini kerana, sudah tiba masanya kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) bertindak tegas terhadap golongan pengotor ini yang tidak pernah memikirkan tentang kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

Tidak dinafikan PBT sudah menunaikan tanggungjawab mereka dengan melaksanakan undang-undang sedia ada kepada golongan yang suka membuang sampah sesuka hati ini.

Iklan

Buktinya, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengeluarkan kompaun berjumlah RM2,000 ke atas 40 individu kerana membuang sampah melibatkan lokasi tumpuan awam di pusat bandar Kuala Terengganu pada bulan lalu.

Kompaun bagi kesalahan membuang sampah di merata-rata tempat selaras dengan Perenggan 47(1)(a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan, 1974 (Akta 133); atau Undang-Undang Kecil 13, Undang-Undang Kecil (Kebersihan Awam) MBKT, 1981.

Namun bagi penulis, kompaun yang rendah ini seolah-olah tidak menggerunkan masyarakat. Lihat sahaja di sekitar kawasan pantai dan lokasi tumpuan pengunjung lain, setiap masa ada sahaja sampah sarap yang ditinggalkan di sana.

Sama ada plastik makanan, botol minuman, bekas polisterin, pelitup muka dan penyedut minuman, semuanya dilonggokkan di luar tong sampah tanpa rasa bersalah. Lebih teruk, lampin pakai buang pun selamba dibuang begitu saja, memang pengotor!

Sebagai sebuah negeri pelancongan yang menjadi tumpuan pengunjung dalam dan luar negara, penduduk Terengganu seharusnya mempamerkan sikap yang hebat dalam menguruskan sampah sendiri agar dipandang tinggi oleh orang lain.Tugas amal

Dalam soal ini, penulis kagum dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Geng Plastik Ija (GPI), Trash Hero dan individu yang sanggup mengerah keringat dan menyumbang masa mereka melakukan kerja amal mengutip sampah di lokasi tumpuan awam.

GPI Kuala Terengganu contohnya, berjaya mengumpul sebanyak 604 beg sampah seberat 2,307 kilogram dalam aktiviti gotong-royong yang diadakan bersama beberapa pihak lain di sekitar Kuala Terengganu bermula Januari hingga Oktober lalu.

Seorang juruteknik, Muhamad Hafizi Tajudin, 27, pula sanggup membatalkan hasrat untuk beriadah sambil mendaki di kawasan Air Terjun Janda Mandi di Bukit Kijal, Kemaman setelah melihat banyak sampah yang dibuang di kawasan tersebut.

Dia dan rakannya, Nuralia Faziera Mohamad, 27, memutuskan untuk mengutip dan membawa turun longgokan sampah seberat 10 kilogram (kg) yang ditinggalkan di sepanjang laluan pendakian ke tempat pembuangan sampah.

Kita pasti berasa bertuah kerana mempunyai NGO dan individu seperti itu yang rajin membantu membersihkan sampah.

Tapi, sampai bila kita perlu mengharapkan mereka? Tidak bolehkah kita sendiri buang sampah ke tempat sepatutnya? Cukup-cukuplah amalkan budaya campak sampah sesuka hati.

Sudah tiba masanya kita berubah menjadi masyarakat pembersih. Ia juga merupakan salah satu aspek dituntut oleh agama Islam sendiri.

Sikap sukakan kebersihan bukan hanya menjadikan kita lebih sihat dan negeri cantik, malah ‘poket’ juga selamat daripada dikompaun oleh penguat kuasa PBT yang selalu memerhatikan gelagat si pengotor!

* Rahayu Mustafa ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Terengganu