PUTRAJAYA- Sebanyak 7,601 kertas undi pos dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) kepada yang berhak bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi pos dibuat berdasarkan Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 oleh petugas pilihan raya di semua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa.
"Kesemua kertas undi pos tersebut terdiri daripada 6,871 kategori Borang 1A iaitu petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis, tentera dan media," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, sebanyak 511 undi pos bagi kategori Borang 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara, 113 kategori Borang 1C membabitkan sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan, serta 106 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.
"Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding," katanya.
Beliau berkata, semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada pegawai pengurus DUN berkenaan sebelum jam 5 petang hari mengundi iaitu pada 20 November.
"Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial," katanya.