Perak belanja lebih RM200 juta pakej rangsangan ekonomi

Iklan
Saarani

IPOH - Kerajaan Perak membelanjakan lebih RM200 juta tahun ini menerusi pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia termasuk melaksanakan pelbagai inisiatif dan program bagi menggerakkan semula ekonomi rakyat yang terjejas selain membantu rakyat mencipta peluang pekerjaan dengan menyediakan latihan kemahiran.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, antara usaha itu adalah menganjurkan Minggu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang bertujuan mendedahkan anak-anak muda sama ada yang masih bersekolah atau sudah bekerja untuk menceburi bidang kemahiran.

"Sekretariat Pembangunan Usawahan Negeri Perak (STeP) pula memainkan peranan yang signifikan untuk membantu menggilap potensi para usahawan serta membimbing mereka dalam membina semula atau mengembangkan perniagaan.

Iklan

"Pada masa sama, kerajaan negeri menggalakkan kolaborasi dengan pelbagai pihak untuk memperkasakan modul TVET kerana kita percaya dalam suasana pasaran kerja yang kian mencabar, bidang kemahiran adalah antara pilihan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Tenaga Nasional Berhad (TNB) Reskilling Malaysia antara TNB Integrated Learning Solution Sdn Bhd (ILSAS) dan Digital Perak Corporation Holdings secara maya hari ini.

Iklan

Mengenai Program TNB Reskilling Malaysia, Saarani berkata, ia merupakan satu inisiatif yang sangat baik dan menepati hasrat kerajaan negeri untuk mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran tenaga kerja selain merancakkan transformasi digital negeri itu.

Program tersebut menawarkan pelbagai kursus latihan secara percuma khususnya kepada para pekerja syarikat usahawan kecil yang terjejas akibat pandemik COVID-19 untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam era digital. - Bernama