Polis terima 223 laporan tolak vaksin

Iklan
Mior Faridalathrash

KUALA KANGSAR - Polis Perak menerima sebanyak 223 laporan daripada individu bagi menyatakan hak mereka menolak menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, laporan itu diterima daripada mereka yang turut tidak berpuas hati dengan sekatan yang dikenakan oleh kerajaan.

Iklan
Iklan

"Laporan yang diterima mewakili diri dan keluarga mereka. Antara sebab mereka tidak mahu divaksin kerana tidak yakin dengan vaksin itu sendiri selain menyatakan itu sebagai hak mereka.

"Mereka juga tidak berpuas hati kerana ada sekatan tertentu dikenakan ke atas mereka seperti merentas negeri serta tidak boleh memasuki premis serta restoran," katanya kepada pemberita di Majlis Meraikan Persaraan 105 pegawai, anggota dan kakitangan awam daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, Taiping, Kerian, Pengkalan Hulu, Gerik, Selama dan Sungai Siput di Kompleks Perumahan PDRM Kuala Kangsar di sini pada Rabu.

Mior Faridalathrash (kanan) menyampaikan sijil penghargaan Mohd Nasir Ahmad Kamal pada Majlis Meraikan Persaraan pegawai, anggota dan kakitangan awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Kuala Kangsar.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris dan Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar, Datuk Seri Wan Mohd Fathir Wan Hussain.

Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata, hampir 100 peratus pegawai dan anggota polis telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Iklan

"Perak (polis) boleh dikatakan 100 peratus malah, ramai dalam kalangan kami yang sudah mendapat suntikan dos penggalak," katanya.