JBPM Kedah kesan 18 lokasi risiko insiden kepala air

Iklan
Anggota bomba sedang menjalankan tinjauan di lokasi kepala air di Hutan Lipur Bukit Wang untuk memastikan tahap keselamatan di kawasan terbabit.

KUBANG PASU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengenalpasti 18 lokasi membabitkan lapan daerah di Kedah sebagai kawasan berisiko berlaku insiden kepala air pada musim tengkujuh.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, lokasi tersebut adalah Hutan Lipur Bukit Wang di Jitra; Titi Hayun dan Air Terjun Batu Hampar, di Yan serta Kawasan Rekreasi Tupah di Kuala Muda; di Kulim ( Air Terjun Junjung, Kuala Sedim), Langkawi (Air Terjun Temurun, Hutan Lipur Lubuk Semeliang dan Telaga Tujuh,); Kuala Nerang (Puncak Janing dan Sungai Empangan Pedu) Sik (Lata Mengkuang dan Lata Perangin.)

Iklan
Iklan
Anggota bomba sedang menjalankan tinjauan di lokasi kepala air di Hutan Lipur Bukit Wang untuk memastikan tahap keselamatan di kawasan terbabit.

"Selebihnya adalah di Baling (Bukit Hijau, Lata Bayu, Lata Celak Iboi dan Sungai Ketil) serta Air Terjun Ulu Paip di daerah Kulim," katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di Hutan Lipur Bukit Wang di sini pada Rabu.

Menurutnya, semua anggota Bomba diarahkan membuat pemantauan secara berkala setiap dua jam sekali di lokasi terlibat untuk memastikan keselamatan penduduk setempat terjamin.

Iklan

"Pengunjung yang berhasrat bercuti di kawasan perkelahan air terjun atau sungai dinasihatkan untuk menangguhkan percutian mereka buat sementara waktu.

"Kawasan tasik juga tidak digalakkan untuk dikunjungi pada waktu sekarang ini," katanya.

Iklan

Mohamadul Ehsan berkata, JBPM bersiap sedia untuk memantau kawasan- kawasan rendah yang berisiko dilanda banjir ketika ini.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati Jabatan Perhutanan Negeri Kedah mengeluarkan notis penutupan sementara yang digantung di pagar masuk ke Hutan Lipur Bukit Wang.