MELAKA - Calon yang bertanding bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilihat turun padang membantu penduduk yang dilanda banjir kilat membabitkan beberapa kawasan.
Menerusi perkongsian di Facebook calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, VP Shanmugam dilihat meredah banjir di Kampung Gadek Dalam, Alor Gajah.
Beliau juga sempat membantu penduduk mengalihkan kenderaan dibantu beberapa individu lain.
"Ini adalah masalah rakyat yang perlu diberi perhatian. Saya difahamkan kawasan ini dilanda banjir tiga kali dalam setahun.
"Kita dapati ini adalah kawasan saliran. Sungai kecil tidak dapat menampung air. Jika saya diterima sebagai wakil rakyat, saya akan bawa masalah ini supaya keadaan lebih baik," katanya menerusi video di Facebook itu pada Rabu.
Sementara itu, calon BN bagi DUN Asahan, Fairul Nizam Roslan juga berkongsi pergerakan beliau turun bertemu penduduk di Kampung Selandar yang dilanda banjir malam Selasa.
"Saya mendapat berita banjir di Kampung Selandar dan segera turun untuk melihat keadaan itu. Kita harap keluarga yang ditimpa banjir ini dapat bersabar dengan ujian ini," katanya.
Isu banjir di negeri ini menjadi antara perkara tumpuan yang dibawa oleh beberapa calon terlibat di kawasan terjejas ketika PRN Melaka masuk hari ketiga tempoh berkempen ketika ini.