KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri tidak mengeluarkan arahan penutupan pulau peranginan di negeri ini sepanjang musim tengkujuh tahun ini.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, ia mengambil kira tempoh operasi penggiat sektor pelancongan yang baharu 'bernafas' setelah sekian lama terbelenggu akibat pandemik Covid-19.
Bagaimanapun katanya, pengusaha pelancongan diingatkan untuk sentiasa berwaspada serta mengutamakan aspek keselamatan susulan perubahan keadaan cuaca yang tidak menentu sepanjang musim tengkujuh.
"Kerajaan tidak mengeluarkan arahan penutupan pulau walaupun kita mempunyai kuasa untuk mengarahkan pulau-pulau ditutup.
"Terpulang kepada pengusaha pelancongan terutama di pulau-pulau peranginan untuk memutuskan sama ada ingin menutup atau meneruskan operasi mereka pada musim tengkujuh ini.
"Apa yang pasti, mereka yang ingin beroperasi perlu mengutamakan keselamatan pelancong seperti mewajibkan pemakaian jaket keselamatan," katanya ketika sidang akhbar selepas pelancaran Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Negeri Terengganu 2021-2025 di Wisma Darul Iman, di sini, pada Rabu.
Menurut Ariffin, pihaknya yakin pengusaha-pengusaha resort dan hotel lebih arif dalam mengendalikan sektor berkenaan selain berpengalaman luas.
"Kami ada kuasa mengarahkan pihak polis untuk berbincang dengan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Terengganu supaya semua pulau ditutup.
"Namun pengusaha ini bukan setahun dua dalam bidang ini malah ada yang pengalaman berpuluh-puluh tahun, jadi kami serah kepada kebijaksanaan mereka,” katanya.
Sementara itu, katanya, kerajaan negeri menyasarkan kedatangan tiga juta pelancong ke Terengganu pada 2022.
Katanya, sasaran itu berkurangan berbanding lima juta pelancong sebelum ini disebabkan pandemik Covid-19 dan pintu sempadan antarabangsa yang masih ditutup.
Ariffin bagaimanapun menjangkakan pelancong asing akan mula memasuki negara apabila kawasan peranginan dibuka sepenuhnya pada Februari 2022.
"Kami belum ada maklumat bila pelancong asing boleh masuk, jadi saya jangkakan apabila pulau dibuka mungkin pada Februari depan pelancong asing sudah boleh masuk Malaysia.
"Kehadiran pelancong asing akan membantu meningkatkan 20 hingga 30 peratus jumlah pelancong di Terengganu," katanya.