PASARAN getah Malaysia ditutup tinggi pada Rabu, disokong oleh kenaikan harga minyak mentah di tengah-tengah petunjuk prestasi bercampur-campur daripada pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.
Penanda aras minyak mentah Brent menokok 0.5 peratus kepada AS$85.18 setong.
Bagaimanapun, beliau berkata, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh peningkatan data harga kilang Amerika Syarikat (AS) dan China yang menambah kebimbangan bahawa penggubal dasar mungkin perlu menaikkan kadar faedah.
Data Jabatan Tenaga Kerja AS menunjukkan Indeks Harga Pengeluar (PPI) bagi permintaan akhir meningkat 0.6 peratus dari bulan sebelumnya dan 8.6 peratus dari setahun sebelumnya disebabkan kos barangan yang lebih tinggi, menimbulkan kebimbangan tekanan inflasi yang berterusan ke atas ekonomi.
Biro Statistik Kebangsaan melaporkan harga produk di kilang di China meningkat pada kadar terpantas dalam tempoh 26 tahun pada Oktober dengan pertumbuhan PPI sebanyak 13.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 naik satu sen kepada 695.5 sen sekilogram manakala lateks pukal menokok setengah sen kepada 543.5 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga penutup LGM bagi SMR 20 pada 696.5 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 543 sen sekilogram. - Bernama