PNB saran wujud kumpulan wang amanah golongan autistik, OKU

Iklan
Permodalan Nasional Bhd (PNB) - Foto Bernama

PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) disaran mewujudkan dana unit amanah seperti Amanah Saham Nasional (ASN) bagi memastikan kesejahteraan golongan autistik dan orang kelainan upaya (OKU) khususnya kanak-kanak pada masa depan.

Pengerusi Kumpulan Sokongan Ibu Bapa dan Guru di Pusat Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) Titiwangsa, Datuk E. Sivabalan berkata, cadangan Amanah Saham Orang Kelainan Upaya (ASOKU) adalah berbeza kerana kerajaan akan menyediakan geran sepadan bagi golongan itu.

Iklan
Iklan

"Bagi setiap ringgit yang dilaburkan untuk kanak-kanak kurang upaya oleh ibu bapa dan penjaga mereka, kerajaan akan memadankannya dengan ringgit lain.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh bekerjasama membantu dalam projek ini dengan menyalurkan sebahagian daripada dana untuk golongan OKU melalui ASOKU," menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, melalui usaha ini, dana JKM akan menjadi simpanan masa depan untuk golongan OKU dan mereka yang berkebolehan berpeluang dilantik ke dalam Lembaga Pengarah syarikat di mana ASOKU telah melabur dengan ketara.

"Syarikat boleh diminta untuk melantik OKU ke dalam Lembaga Pengarah semata-mata kerana ASOKU telah membuat pelaburan besar sekali gus memegang sejumlah besar ekuiti dalam syarikat itu," katanya.

Iklan

Sivabalan berharap dapat membincangkan perkara itu dengan Presiden OKU Sentral Datuk Ras Adiba Radzi untuk dibawa kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Melalui usaha ini, JKM juga boleh mendapatkan lebih ramai OKU untuk mendaftar dengan jabatan itu kerana syarat untuk menyertai ASOKU ialah mereka perlu berdaftar dengan JKM," katanya. -Bernama