SHAH ALAM - Pendekatan agama merupakan elemen terbaik supaya masyarakat membenci budaya rasuah.
Ketua Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Profesor Dr Ishak Suliaman berkata, selain elemen menanam nilai membenci rasuah, hukuman perundangan juga perlu diperkemaskan kerana menjadi faktor penting menghapuskan budaya penyelewengan itu.
"Sistem perundangan akan gagal jika kumpulan yang mengendalikan hukuman tidak tidak takutkan akhirat dan hanya gerun dunia.
"Sebab itu juga, dalam keadaan ini ALLAH SWT mengingatkan penguasa mesti melaksanakan hukum Islam seadilnya. Kalau sudah disabitkan kesalahan di mahkamah, maka perlu dilaksanakan dengan segera," katanya dalam program Wacana Al-Quran bertajuk Hapus rasuah: Nilai atau perundangan pada Rabu.
Wacana Al-Quran anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama Sinar Harian menjadi platform untuk merungkai pelbagai isu bersama pakar dan ilmuwan di bidang masing-masing dengan berpandukan al-Quran dan Hadis.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan isu rasuah yang sudah lama berlaku perlu ditangani segera bagi mengelakkan kemurkaan ALLAH seperti yang berlaku pada zaman Firaun, Qarun, dan Haman yang ditimpa musibah akibat pelbagai penyelewengan pada zaman tersebut.
"Qarun seorang jutawan dan Firaun lambang politik mankala Haman seorang teknokrat yang boleh menguruskan pentadbiran. Apabila bergabung semua ini ia akan menjadi satu ekosistem yang lengkap.
"Bertambah pula sifat takbur mereka kononnya dapat kekal lama tetapi ALLAH telah sudah memberi jaminan bahawa mereka akan berakhir dengan dua kehinaan di dunia dan di akhirat," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, rakyat perlu sedar serta faham dan bukan hanya sekadar tahu mengenai bahaya rasuah di negara ini.
"Tahu dan sedar dua perkara berbeza. Boleh jadi ALLAH izinkan wujud Rasuah Busters, anak kecil di tadika pun tahu Rasuah Busters, tetapi adakah dia sedar?
"Tahu dan sedar ini bukan semata-mata kepada badan berwajib tetapi juga perlu turun kepada rakyat. Jika kita hanya sekadar tahu rasuah itu wujud tetapi tidak buat apa-apa sama seperti kita hanya baca al-Quran tetapi kita tidak faham dan tidak amalkan.
"Begitu juga sistem perundangan yang kita tahu ada undang-undang. Kita boleh tangkap dan siasat tetapi tiada keputusan atau keputusan tidak memihak kepada kebenaran. Itu merupakan kesan jika tidak bertindak langsung di pelbagai peringkat," katanya.
Menurutnya, sama seperti Covid-19 yang perlu diputuskan rantaiannya, ekosistem rasuah ini juga perlu dihapuskan untuk mengelakkan ia terus berleluasa.
"Apabila bercakap mengenai putuskan rantaian, kita bukan hanya perlu berubat tetapi perlu meningkatkan daya tahan. Ini yang Rasuah Busters cuba lakukan untuk mendidik seseorang agar tidak bersengkokol dengan orang yang mengamalkan rasuah," katanya.