Kadar vaksinasi tinggi dorong Malaysia perkenal koridor perjalanan

Iklan
Ismail Sabri (kiri) pada sidang media bersama Presiden Indonesia Joko Widodo di Istana Bogor pada Rabu sempena lawatan rasmi tiga hari Ismail Sabri ke Indonesia bermula semalam. - Foto Bernama

JAKARTA - [DIKEMASKINI] Malaysia mempunyai kadar vaksinasi dan standard pencegahan jangkitan Covid-19 yang tinggi untuk pastikan koridor perjalanan dengan Indonesia yang telah dirancang berjalan lancar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, tahap vaksinasi rakyat Malaysia juga sangat tinggi dengan 96 peratus rakyat Malaysia dewasa telah menerima vaksin.

Iklan
Iklan

Kerajaan juga sedang dalam proses memberikan vaksin kepada golongan muda berumur antara 12 tahun dan 17 tahun yang setakat ini mencapai 65 peratus.

"Kita ada standard pencegahan yang agak tinggi untuk pastikan semua selamat," beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis tandatangan lima memorandum persefahaman antara syarikat Malaysia dan Indonesia di sini.

Iklan

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Menteri Kesihatan Indonesia yang mahu mengetatkan kemasukan rakyat Malaysia ke Indonesia setelah kes Delta Plus dikesan di Malaysia.

Ismail Sabri yang berada dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia berkata, rakyat Malaysia yang keluar juga diwajib melengkapkan dua dos vaksin dan jalani swab test dengan keputusannya perlu negatif sebelum mereka dibenarkan berlepas.

Iklan

Setibanya di Indonesia mereka akan diswab lagi dan hanya akan dibenarkan keluar dari hotel kuarantin jika keputusan negatif.

"Tidak perlu bimbang akan kemasukan rakyat Malaysia ke Indonesia," kata Ismail Sabri, sambil menambah inisiatif koridor perjalanan akan merangsang kembali industri pelancongan yang terjejas akibat pandemik.

Dalam sidang media bersama Presiden Joko Widodo di Istana Bogor tengah hari Rabu, Ismail Sabri berkata, Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk laksanakan koridor perjalanan antara kedua-dua negara melalui aturan Travel Corridor Arrangement atau Vaccinated Travel Lane, memandangkan kedua-dua negara semakin pulih daripada pandemik Covid-19.

Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan, kerjasama syarikat Malaysia dalam pembangunan ibu kota baru Indonesia di Kalimantan akan memberi impak positif kepada kedua-dua negara.

"Jika diberi peluang untuk melabur di Kalimantan kita akan dapat manfaat. Di Indonesia pula faedahnya adalah pembangunan," jelasnya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, beliau dan Presiden Joko Widodo berpendapat isu yang berkaitan dengan Laut China Selatan harus diselesaikan secara rundingan dengan semua negara perlu mematuhi undang-undang antarabangsa.

"'United Nations Convention on the Law of the Sea' (UNCLOS) perlu dirujuk apabila ada isu pertindihan," katanya.

Beliau juga sekali lagi mengulangi jaminan menjaga kepentingan tenaga kerja Indonesia di Malaysia.

Malaysia memperkenalkan e-gaji iaitu satu kaedah yang membolehkan pekerja asing seperti dari Indonesia membuat aduan mengenai isu pembayaran gaji yang akan disalurkan terus kepada Kementerian Sumber Manusia

”Bukan sahaja mengenai tidak dapat gaji atau gaji lambat, pekerja juga boleh membuat sebarang aduan berkaitan kebajikan mereka,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:Malaysia-Indonesia setuju laksana koridor perjalanan