KREDIBILITI sesebuah kerajaan boleh hilang sekiranya sistem komunikasi tidak cekap dan mengambil langkah membisu apabila berhadapan dengan sesuatu itu yang memberikan gambaran buruk di mata masyarakat.
Acap kali cyber trooper berperanan membuat hebahan tidak benar dan membuat kempen kebencian terhadap individu tertentu.
Sudah pasti agenda mereka berjaya kerana media sosial adalah sebuah platform ‘buta’.
Khabar angin atau ‘hearsay’ sebegini bukan sahaja boleh meruntuhkan sesebuah kerajaan ataupun organisasi, malah ia turut mewujudkan krisis kepercayaan.
Itu mungkin satu contoh tetapi hari ini kita lihat terdapat saluran Telegram dan laman mikro Twitter yang diwujudkan untuk menghentam kepimpinan serta pegawai beberapa agensi penguat kuasa negara.
Laman berkenaan turut mengeluarkan beberapa dokumen yang mendakwa kononnya bukti penglibatan dan pemilikan tertentu bagi aset-aset yang dimiliki pegawai kerajaan terbabit.
Akibat penyebaran maklumat tidak pasti seumpama itu menyebabkan rakyat sangsi terhadap ahli politik dan juga individu terkait dengan dakwaan. Salah satu cara terbaik menghentikan ‘hearsay’ daripada terus tersebar, pertama – pihak yang dikaitkan jika yakin tidak bersalah harus segera membuat kenyataan penafian.
Dunia digital yang bergerak sepantas kilat perlu ditangani ‘seberapa pantas’ juga. Kedua, pihak polis perlu segera menyiasat sebarang ‘hearsay’ yang tersebar bagi mengekang pelakunya terus bebas menyebarkan maklumat palsu dan janganlah hanya menyiasat selepas adanya laporan polis.
Malah, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menyifatkan dakwaan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah oleh pengendali sebuah saluran media sosial sebagai isu rekaan dan sengaja disensasikan.
Beliau berkata, polis sudah membuka 13 kertas siasatan berhubung perkara tersebut, namun kebanyakan perkara yang disebarkan dalam saluran berkenaan sengaja diada-adakan untuk mewujudkan suasana sensasi.
Persoalan amat mudah, jika kita yang mempunyai kuasa dan peranan tidak mengambil tindakan, adakah kita hendak membiarkan budaya itu merosakkan imej?