KUANG - Kira-kira 60 rumah yang terjejas dengan bencana ribut semalam disalurkan bantuan pembaikan oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Kuang dengan peruntukan dianggarkan RM60,000.
Pengerusi Pembangunan Majlis Tindakan DUN Kuang, Azman Yaakob berkata, dalam kejadian 5.30 petang semalam, beberapa kawasan dilanda ribut antaranya Kampung Damai, Kampung Setia, Kampung Melayu Sri Kundang dan Kampung Bunga Raya.
Menurutnya, peruntukan pembaikan bumbung terjejas itu dilakukan bermula hari ini dijangka diselesaikan dalam kadar segera bagi mengelak kerosakan lebih teruk disebabkan hujan.
"Peruntukan melibatkan bantuan zink, paku dengan kayu termasuk kos upah dengan anggaran pembaikan rumah dianggarkan kira-kira RM1,000.
"Rekod mangsa terjejas telah dikumpulkan oleh ketua kampung yang akan ke kedai pembekal binaan untuk pembelian paralatan sebelum melantik tukang bagi pemasangan," katanya.
Katanya, dalam insiden semalam, beberapa kenderaan turut dilaporkan rosak namun insiden tidak melibatkan kemalangan jiwa.
"Tiada pusat pemindahahan dibuka setakat ini dan mangsa terjejas telah diminta membuat laporan polis bagi kegunaan dokumentasi sumbangan bencana daerah.
"Beberapa agensi kerajaan telah turun ke lokasi menyalurkan bantuan termasuk kerja pembersihan. Manakala bantuan saguhati bencana akan dilakukan secara berperingkat," katanya.